Tuesday, 24 May 2016

Penulisan Ilmiah Novel Juara

1.0       Pengenalan
S.Othman Kelantan merupakan sasterawan negara yang kesembilan. Karya novel yang dihasilkan oleh penulis ini mampu memberikan kesan-kesan yang bersifat positif kepada masyarakat dalam pemikiran mereka. Situasi ini dapat dilihat melalui pembabitannya dalam fenomena sastera Islam yang telah melayakkannya merangkul gelaran sasterawan negara yang kesembilan. Penampilan atau penghasilan karya novel yang ditampilkan oleh beliau unik serta berbeza daripada penulis lain termasuk sasterawan negara terdahulu. Hal ini memberikan kelebihan kepada beliau untuk menyandang gelaran tersebut.
Juara adalah salah satu daripada novel yang telah dihasilkan oleh S. Othman Kelantan yang telah diadaptasi kepada filem arahan U-Wei Haji Shaari. Novel ini telah diangkat ke layar perak dengan tajuk Jogho. Juara juga ialah novel kelima Syed Othman Syed Omar (Al-Yahya) atau lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan setelah Pengertian (1996), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969) dan Perjudian (1973). Juara mengambil latar masyarakat Melayu (Selatan Siam dan Kelantan) yang jelas dianggap sebuah novel politik oleh novelisnya, selain turut berciri sedikit sejarah, khususnya sejarah politik Tanah Melayu (Hizari Othman,2000). Novel ini telah terbit pertama kalinya pada tahun 1976, tetapi filemnya hanya muncul 21 tahun kemudian iaitu pada tahun 1997 apabila U-Wei Hj Shaari mengambil keputusan untuk mengadaptasi novel tersebut kepada bentuk filem.
Novel juara ini terdiri daripada 160 muka surat dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Melalui novel Juara ini, penulis banyak menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Oleh itu, pengkaji akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup serta estetika dan kepengarangan yang terdapat dalam novel tersebut.



2.0       Sinopsis Novel Juara
Juara mengisahkan Mamat dan anak-anak buahnya yang terdiri daripada Mat San, Seli, Jali, Sani dan Salim. Abang Lazim juga merupakan antara rakan seperjuangan mereka namun telah mati ditembak selepas mereka memenangi laga lembu. Abang Lazim telah dibunuh oleh Pak Isa, Dolah Munduk dan ahli kumpulan mereka yang lain kerana tidak puas hati akan lembu Abang Lazim, iaitu Calet yang telah mengalahkan lembu mereka, Langsat.
Mamat merupakan ahli politik yang meletak jawatan setelah gagal dalam pilihan raya sebanyak dua kali walaupun beliau merupakan antara orang yang kuat memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mamat meletak jawatan atas alasan rakyat tidak lagi memerlukan beliau untuk terus berkhidmat malahan telah wujud beberapa pesaing yang lebih hebat daripada parti pertubuhan lain.
            Setelah kalah dalam politik di Kelantan, Mamat telah berpindah ke Siam dan mula mendekatkan diri dalam aktiviti melaga lembu melalui Abang Lazim. Kehebatan Mamat dalam bidang laga lembu ini memang tidak dapat disangkal lagi kerana beliau dapat menilai lembu malahan beliau semakin dihormati dalam kalangan anak buahnya. Mamat sebenarnya ingin menuntut bela atas kematian Abang Lazim, iaitu sahabatnya. Hal ini berlaku kerana kemenangan yang diperoleh Abang Lazim dan Mamat melalui lembunya, Calet yang akhirnya menyebabkan berlakunya pembunuhan tragis yang dilakukan oleh Dolah Munduk, iaitu orang kanan Pak Isa. Keadaan ini berlaku kerana rasa tidak puas hati antara Pak Isa dengan Abang Lazim dan Mamat kerana mereka merasakan bahawa Mamat telah melakukan penipuan dalam pertandingan laga lembu tersebut.
            Selepas Abang Lazim dan Calet telah mati ditembak oleh Dolah Munduk, Mamat mula melatih Aral, iaitu lembu muda. Setahun selepas peristiwa berdarah tersebut, Aral akan beradu dengan seekor lembu dari Pulau Lonel yang merupakan lembu Pak Isa. Sebelum berlakunya pertarungan juara tersebut, Pak Isa telah membuat persediaan yang rapi terhadap lembunya dengan membalut tanduk lembunya dengan besi agar lebih tajam. Hal ini bertujuan untuk membunuh Aral, iaitu lembu muda yang telah dilatih oleh Mamat. Namun, pada hari kejadian tersebut bukanlah pertarungan laga lembu tetapi pertarungan hebat antara Pak Isa dengan Mamat. Hal ini kerana Pak Isa masih tidak berpuas hati dan berdendam atas kekalahannya pada suatu ketika dahulu manakala Mamat pula berdendam atas kematian Abang Lazim.
            Dalam pertelingkahan yang berlaku antara Mamat dengan Pak Isa telah membawa kepada kematian Pak Isa yang telah mati ditembak oleh Mamat di hadapan semua penyokong laga lembu. Suasana politik yang tidak menentu di Selatan Thailand dan hubungan erat antara masyarakat Melayu Kelantan tidak dapat disangkal lagi. Malahan, penulis juga berusaha untuk menjelaskan bahawa wilayah Selatan Thailand seperti Pattani, Narathiwat dan Yala merupakan wilayah Melayu yang sepatutnya menjadi daerah Kelantan.

3.0       Aspek Yang Dianalisis
Berdasarkan Novel Juara yang dikaji, terdapat beberapa aspek utama yang dikaji oleh pengkaji. Aspek yang dikaji ini lazimnya dikaji dalam penelitian sesebuah karya agung. Antara aspek tersebut termasuklah pemikiran dalam karya agung, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung, nilai ilmu dalam karya agung dan teknik kepengarangan dan seni bahasa dalam karya agung. Aspek-aspek ini akan dilihat dalam Novel Juara oleh S. Othman Kelantan seperti berikut:

3.1       Pemikiran (Isi Dan Mesej) dalam Novel Juara
Secara umum, pemikiran menurut Mohd Yusof Othman (1998) mempunyai pengertian yang luas dan boleh diterangkan dalam pelbagai pendekatan. Namun, berfikir merupakan suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan seseorang. Oleh yang demikian, hanya orang yang mampu berfikir boleh melakukan perubahan dan menjana aktiviti yang bersifat kreatif serta membangun. Kemampuan dan keluasan berfikir tidak akan menjadikan seseorang itu stereotaip dalam tindakan dan amalannya. Konsep pemikiran pernah dijelaskan oleh Zainal Kling (1993) sebagai kegiatan untuk membentuk sesuatu sistem tanggapan yang akan menjadi rangka berfikir yang wajar bagi semua anggota masyarakat.
Menurut S. Othman Kelantan (1997) mendefinisikan pemikiran sebagai idea yang wujud daripada golongan intelektual yang menggunakan fakulti kritikal dalam mindanya untuk memikirkan sesuatu masalah dalam masyarakatnya. Pemikiran itu disebarkan di dalam lingkungan masyarakatnya atau keluar daripada masyarakatnya. Mungkin oleh sebab memikirkan ancaman yang muncul pada zamannya, golongan intelektual ini merakamkan ketidaksenangan dan kegelisahannya dalam bentuk novel. Pemikiran yang tersembunyi dalam novel ini dikaji untuk melihat keupayaan dan keunggulan pengarang Melayu meluahkan perasaan mereka yang beragam dan kompleks itu. Justeru itu, pemikiran dalam novel juga dapat dilihat melalui watak-watak yang beraneka ragam.
            Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et. al (2016), pemikiran bermula dengan idea yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Isi dan mesej merupakan perkara utama yang ingin disampaikan di dalam sesebuah karya. Dalam novel Juara karya S. Othman Kelantan, terdapat beberapa pemikiran yang telah dikenal pasti dan ingin disampaikan oleh pengarang dalam karya tersebut iaitu sistem politik dalam laga lembu, perjuangan dalam politik demi kemerdekaan, budaya laga lembu dan kasih sayang terhadap keluarga.
        i.            Sistem politik dalam laga lembu
Tindakan Mamat yang mula berlaga lembu untuk kembali menjadi juara itu barangkali suatu manifestasi protesnya terhadap nostalgia politiknya di tanah tumpah darahnya. Barangkali ada sesuatu yang tidak dipersetujuinya di sana. Berjudi laga lembu di satu desa kecil dengan penguatkuasaan undang-undang yang longgar dengan Melayu sebagai minoriti pula, dengan itu menyediakan satu atmosfera yang sangat sesuai kepada ‘pemberontak’ seperti Mamat. Dia seolah menyediakan satu mekanisme melawan kembali dalam perjuangan bentuk barunya yang mungkin dapat disamakan dengan perjuangan politiknya dahulu.
Dia mungkin menjadikan laga lembu atas dasar pelarian sahaja serta melupakan kenangan lamanya di kampung. Pengarang memasukkan pemikirannya dalam novel ini dengan menunjukkan kepada pembaca bahawa melaga lembu dan mengumpul pengikut untuk memperbanyakkan taruhan dan mengumpul duit untuk memperbanyakkan taruhan dengan pilihan raya, menabur janji dan kemudian senyap setelah menang tidak mempunyai perbezaan. Inilah pemikiran mendalam pengarang yang harus difahami oleh seseorang pembaca. Kedua-duanya mencari ketenangan, kepuasan sementara yang palsu, yang sering diatasi oleh serakahnya nafsu. Kalah menang, tawa sendu dalam “mencari diri” di gelanggang laga lembu juga tidak banyak berbeza dengan kalah menang dan tawa sendu mereka yang berjuang di atas platform politik moden dengan lesen demokrasi. Dalam Juara, laga lembu ialah politik, politik ialah lembu sebagaimana yang ditegaskan oleh pengarangnya.
“gelanggang politik dengan gelanggang lembu itu tidak jauh bezanya dengan praktik. Lembu itu pun sama dengan politik. Sama-sama diperjudikan. Kalau lembu itu kalah, orangnya pun kalah. Kalau politik kalah, orangnya pun kalah. Politik itu lembu. Dan lembu itu politik”
                                                                                                ( Juara halaman 101 )
Elemen ini menyebabkan juara seolah-olah mempunyai dua plot yang selari iaitu kisah Mamat seorang pejuang politik yang tewas dan kisah laga lembu yang menjadi budaya masa lapang masyarakat selatan Siam. Pengarang menyiratkan makna pemikiran yang mendalam tentang hakikat politik Melayu yang hodoh di sebalik metafora laga lembu.
Seterusnya dengan mengambil lembu itu pula sebagai satu metafora, pengarang mendakwa bahawa setiap bahagian tubuh seekor lembu seperti perut, tanduk dan ekor mewakili pihak tertentu dalam masyarakat. Menurutnya, kepala mewakili golongan perintis dalam politik yanag tidak menikmati kedudukan. Pejuang kemerdekaan umpama tanduk yang menikam dan mengalahkan lawannya tetapi tidak beroleh apa-apa, sebaliknya menemui penderitaan, tewas berjuang atau mati tanpa banyak dikenang. Perut pula mewakili kelompok yang berjuang sedikit atau tidak berjuang langsung tetapi menikmati hasil yang banyak. Mereka ini lazimnya penonton atau berjuang sebagai penyokong sahaja dan golongan inilah yang paling ramai sedangkan kaki dan ekor ini bergelumang dengan tahi dan air kencing. Ringkasnya pengarang cuba menyampaikan bahawa pejuang politik sebenar sering tidak tertonjol malah dilupakan. Sebaliknya, mereka yang munafik dan tidak berkebolehan yang selalu mendapat faedah dan terus disanjung orang.

      ii.            Perjuangan dalam politik demi kemerdekaan
Pemikiran utama novel ini adalah untuk mengupas politik Melayu yang mengejar kemerdekaan. Perjuangan yang dimaksudkan adalah bagaimana usaha-usaha yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin dalam novel Juara ini untuk sama-sama berdemokrasi bagi membantu kemerdekaan orang Melayu. Kelantangan Mahamud Larin, Yahya Hasan dan Mamat menyuarakan hak sebagai rakyat asal tanah Melayu kepada kerajaan British. Ini menyebabkan mereka menjadi perhatian masyarakat untuk membantu menyuarakan hak mereka serta rakyat menyokong mereka dengan sepenuh hati. Peristiwa di dalam novel ini seolah-olah menggambarkan kembali peristiwa pengenalan demokrasi di tanah Melayu semasa pasca merdeka dan bagaimana masyarakat Melayu bertungkus-lumus untuk mengembalikan hak mereka di tanah Melayu.
Watak Mamat yang diperkenalkan oleh pengarang berperanan menjadi pemimpin utama dalam Parti Persatuan Melayu. Sebagai pemimpin Parti Persatuan Melayu yang sederhana dalam segala tindak tanduknya, Mamat amat tegas dalam mencapai matlamatnya. Dia pernah memimpin perarakan untuk menuntut pilihan raya daripada pemerintah Inggeris. Bagi Mamat, ‘harga manusia ialah kemerdekaan’ serta ‘bangsa Melayu sendiri memerintah negeri’.
“Waktu pengisytiharan tarikh kemerdekaan di Melaka, negeri Hang Tuah dan Hang Jebat itu, dia berada di barisan paling hadapan. Dia dan Abdul Kudus mewakili Kelantan secara rasmi. Juga ikut bersama Mahmud Larin dan Yahya Hasan.”
                                                                                                   ( Juara halaman 78 )
“Harga manusia ialah kemerdekaan,” katanya dengan bersemangat. Tangannya menunjal-nunjal langit. “Kemerdekaan itu bererti kita sendiri memerintah negeri kita. Dan apabila kita sendiri yang menentukan haluan, maka kita berhak berbuat apa saja. Mengapa kita membiarkan diri kita dijajah dan dihisap orang lain?”
                                                                                                  ( Juara halaman 74 )

            Dari aspek kepimpinan, Mamat merupakan tokoh pemimpin yang ideal pada mata masyarakat. Jiwanya kaya dengan semangat bangsa dan nasionalisme. Daripada sekian lama perjuangannya dan penglibatan dalam politik, Mamat memang boleh dianggap sebagai nasionalis serta harapan bangsa yang membantu kemerdekaan. Semangat juang tinggi dan untuk mencapai hala tujunya, dia sanggup berkorban jiwa dan raga. Namun kegagalan demi kegagalan menyebabkan Mamat berputus asa dan mula mengundur diri dalam politik. Lebih-lebih lagi isu kemerdekaan telah dilupakan memandangkan sistem baru iaitu demokrasi diperkenalkan.
“Saya sudah sangat tua dalam perjuangan. Sebab itu saya lemah. Kerana lemah, tenaga saya tidak diperlukan lagi. Rakyat telah menolak saya. Perjuangan masih perlu. Tapi apa boleh buat. Rakyat sendiri menentukan kedudukan. Masing-masing kita haruslah mengucapkan selamat jalan kepada politik apabila rakyat membuktikan bahawa mereka tidak mahu!”
                                                                                                            ( Juara halaman 18 )

    iii.            Budaya laga lembu
Kegiatan laga lembu dianggap sebagai sebuah kegitan judi. Laga lembu merupakan pertandingan dua ekor lembu dalam bong iaitu tempat lembu dilagakan. Lembu yang dapat mengalahkan lawan iaitu membunuh lembu lawan atau dapat bertahan lebih lama berbanding lawan akan dikira sebagai pemenang. Dalam perlawanan ini, terdapat sejumlah wang yang dipertaruhkan oleh peserta.
            Novel Juara membawa pembaca untuk menyelusuri kehidupan masyarakat di Bangnara, Thailand. Di sini budaya melaga lembu masih diamalkan bahkan tiada undang-undang yang menegah perbuatan tersebut. Malahan, aktiviti melaga lembu ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada pemilik lembu laga yang menang. Contohnya watak Abang Lazim dan Mamat merupakan orang yang handal dalam soal laga lembu. Ketika Calet iaitu lembu kepada Abang Lazim dilagakan dengan lembu Pak Isa, Mamat telah menjadi juara. Dalam pertandingan ini, Mamat telah menggunakan tipu helah bagi memenangkan Calet. Akhirnya dengan wang pertaruhan sebanyak 200 ribu bath, Langsat telah berjaya dikalahkan.  
“Mamat kembali ke dalam dirinya. Bergerak dalam ingatannya. Sebentar tadi, dia bersama-sama puaknya. Paling tidak pun dua puluh orang. Dua puluh ini orang dalam. Kemudian, mereka masuk bong lembu. Dialah yang jadi hero. Dialah pahlawan lembu yang terbilang di dalam bong itu. Caletnya menang. Yang kurang difikirkannya, dia terburu-buru pulang tanpa menanti kawan-kawannya. Dia sedang memikirkan Minah. Memikirkan Melah. Memikirkan Selamah. Memikirkan Faisah. Paling akhir Jusuh. Dia meninggalkan bong dengan tergesa-gesa setelah mencekak wang hampir sepuluh ribu bath.”
                                                                                                ( Juara halaman 3 )
    iv.            Kasih sayang terhadap keluarga
Walaupun novel Juara membawa nilai-nilai yang lebih bersifat agresif, pengarang tetap memasukkan nilai kasih sayang dalam novelnya. Kasih sayang terhadap keluarga begitu dititikberatkan oleh pengarang. Pengarang telah membangunkan watak-watak dan babak-babak yang mampu membuatkan pembaca terfikir tentang indahnya mempunyai sebuah keluarga yang saling menyayangi dan mempercayai.
            Watak-watak dalam keluarga Mamat digambarkan sebagai watak-watak yang cukup penyayang. Mamat mempunyai seorang isteri iaitu Minah dan tiga orang anak perempuan serta seorang anak lelaki bernama Jusuh. Kehidupan keluarga ini aman damai. Buktinya mereka masih setia walaupun Mamat telah kalah dalam pilihan raya dan ikut bersama-sama melarikan diri ke Siam.
“ Anak-anaknya yang kahwin dengan orang-orang politik juga seorang demi seorang berpisah dengan suami-suaminya. Kemudian berjujuk-jujuk mengikutnya di selatan Siam.
                                                                                                            ( Juara halaman 16)
            Selain itu, kasih sayang mereka juga dipamerkan ketika Mamat menghadapi musibah. Contohnya, Mamat telah cedera parah setelah ditanduk oleh Aral. Namun mereka tetap setia merawat Mamat. Contoh petikan yang dapat dilihat kasih sayang isterinya ialah: 
“Demo dah makan ubat”?suara Minah separuh berbisik ke telinganya. Dia menggeleng sedikit. Minah mengambil ubat butir di dalam bekas nescafe. Mencurahkannya dalam tapak tangan. Membawanya ke mulut Mamat.
                                                                                                            ( Juara halaman 111 )
Mamat juga digambarkan selalu memandang keluarganya dengan penuh kasih sayang. Pastinya setiap kali melihat wajah isteri dan anak-anaknya akan timbul satu perasaan sayang yang tidak berbelah bahagi. Dia juga sentiasa menginginkan sesuatu yang terbaik untuk anaknya terutamanya kepada anak lelakinya iaitu Jusuh. Dia sentiasa inginkan Jusuh mempunyai masa hadapan yang cerah dan dapat berbakti di bumi Kelantan walaupun mereka sudah menetap di bumi Siam. Contoh petikan yang menggambarkan kasih sayang Mamat kepada anaknya ialah:
Dia segera melihat wajah Faisah yang cerah dan segar. Ingin dia mencium anaknya itu. Akan tetapi, diurungkan.
                                                                                                ( Juara halaman 75 )
Jusuh, jangan! Fikir Mamat dalam hati. Jusuh jangan masuk politik. Jangan. Jusuh mesti menghabiskan pelajarannya betul-betul. Ya Tuhan! Doanya. Biarlah Jusuh mendapat tempat tegak baik di tanah airnya Kelantan! Ya Tuhan!
                                                                                                                        ( Juara halaman 116 ) 

3.2       Falsafah dalam Novel Juara
Istilah falsafah ialah gabungan perkataan Philo dan Sophia yang membentuk philosophia yang digunakan oleh Phythagoras buat pertama kalinya yang membawa maksud cinta akan kebijaksanaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:406), falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Manakala Plato pula mendefinisikan Philosophia sebagai ilmu. Oleh itu, umumnya falsafah dapat disimpulkan sebagai suatu pemikiran atau pandangan hidup yang boleh menarik minat pembaca yang terkandung di dalam sesuatu karya.
i.                Politik dan kekuasaan
Secara keseluruhannya, novel “Juara” ini banyak mengetengahkan isu politik di dalam plot penceritaannya. Mamat sebagai watak utama dalam novel ini merupakan orang politik yang meletak jawatan dan melarikan diri setelah dua kali gagal dalam pilihan raya walaupun beliau merupakan antara orang kuat dalam usaha mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Perjuangan laga lembu Mamat dapat disinonimkan dengan perjuangan politiknya. Mamat muncul juara dalam arena laga lembu walaupun dia tewas dalam perjuangan politiknya. Novel ini menyentuh mengenai konflik pertentangan antara manusia yang inginkan kekuasaan dalam dunia politik dan dikiaskan dalam permainan laga lembu. Ia seolah-olah menggambarkan dunia politik dengan perjudian melaga lembu ini setaraf dan tidak banyak perbezaannya. Dalam novel ini, Mamat berlaga lembu untuk kembali berasa menjadi juara. Tindakannya itu merupakan suatu manifestasi protesnya kepada pengalamannya dalam dunia politik. 
ii.              Sosial
Juara mengisahkan mengenai masyarakat Melayu yang tinggal di Bangnara, Siam yang bersempadan dengan Kelantan. Karya ini sarat dengan budaya hidup Melayu selatan Thai dengan situasi konflik politik yang tidak menentu. Kegiatan masa lapang bagi kaum lelaki di Bangnara ialah berlaga lembu. Mamat juga tidak terkecuali melakukan aktiviti tersebut sehingga beliau digelar “Pahlawan Lembu” dan “Juara”.
Selain itu, masyarakat di kampung ini juga terbiasa dengan perbuatan yang mengatasi undang-undang sehingga menyebabkan kejadian pembunuhan bermaharajalela di Selatan Thai. Contoh dalam novel ini dapat dilihat melalui peristiwa pembunuhan Abang Lazim, Pak Isa, dan Dolah Munduk. Membalas dendam seakan-akan merupakan perkara biasa dalam masyarakat tersebut. Hal ini boleh dilihat melalui peristiwa semasa mayat Abang Lazim diusung pulang ke rumah.
 Dua orang lelaki anak Abang Lazim membasahi mayat ayahnya dengan air mata. Kemudian, tegak seperti seekor tedung. Mencapai ladingnya. Mencapai kelewang, pistolnya. Akan tetapi kedua-dua beradik itu disabarkan juga.
               ( Juara halaman 6 )
Melihat kepada petikan di atas, kita dapat mengetahui bahawa kedua-dua anak Abang Lazim mahu menuntut bela di atas kematian ayahnya. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan mereka merupakan masyarakat yang beragama Islam dan terikat dengan peraturan dan undang-undang sesebuah kerajaan. Namun, bunuh-membunuh dan membalas dendam seperti menjadi lumrah bagi sebahagian masyarakat di Bangnara ini.

iii.            Ekonomi
Di dalam novel ini, penulis menggambarkan watak utama iaitu Mamat yang menyara kehidupannya dengan mendapatkan wang kemenangan hasil daripada judi laga lembu. Dalam kehidupan masyarakat yang beragama Islam, Mamat tidak sepatutnya mencari rezeki dengan sumber yang haram iaitu melalui perjudian. Malah, dia juga yang bertindak sebagai ketua keluarga sepatutnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anaknya serta menyediakan nafkah yang halal buat mereka. Contoh yang dapat dilihat di dalam petikan ialah:
“Dia (Mamat) bangga dengan kemenangannya sebagai pahlawan lembu. Julukan itu tidak ada apa-apa hinanya di daerah ini. Nama julukan itu memudahkan dia mendapat wang dari mana sahaja. Bila-bila!”
          (Juara halaman 30-31)
       
3.3       Nilai Budaya Dan Pandangan Hidup dalam Novel Juara  
Nilai Budaya
Menurut Seri Lanang Jaya (2016), budaya adalah daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Sementara itu, budaya pula merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, nilai budaya ini akan membincangkan perkara berkaitan dengan budi dan akal manusia.  
            Juara mengisahkan mengenai mengangkat martabat manusia yang berjiwa besar seperti Mamat yang berani dalam imej juara laga lembu. Novel Juara menceritakan mengenai Mamat sebagai watak protagonis yang sentiasa inginkan yang terbaik untuk masyarakat namun beliau akhirnya sedar bahawa kebaikan yang dilakukannya tidak sehaluan dengan hasrat masyarakat setempat. Juara merupakan sebuah kisah yang sukar difahami kerana ia mempunyai nilai tradisional yanga amat penting kepada masyarakat Kelantan dan Patani yang telah ditonjolkan melalui persengketaan bagi mempertahankan kehormatan diri seseorang lelaki. Oleh itu, nilai budaya yang terdapat dalam novel Juara karya S. Othman Kelantan adalah seperti berikut:
i.          Budaya semangat setia kawan
Novel Juara telah ditonjolkan oleh pengarang budaya semangat setia kawan. Berikut adalah petikan daripada novel Juara yang membuktikan budaya setia kawan yang diamalkan oleh masyarakat yang digambarkan dalam novel ini, iaitu
Dia tidak mengalihkan sedikit pun matanya. Dia berdiri dengan penuh harapan di sisi mayat Abang Lazim. Dia memutuskan dalam hatinya. Dia bersaksikan kapan-kapan yang sedang menyumbati telinga, lubang hidung dan dua lubang yang menembusi kepala dan perut Abang Lazin. Dia akan berbuat apa sahaja. Apa sahaja sampai dia mengikuti jejak Abang Lazim!
(Juara halaman 2)
Berdasarkan petikan di atas telah menceritakan kepada kita mengenai semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh Mamat kepada sahabatnya yang telah meninggal dunia, iaitu Abang Lazim akibat dibunuh oleh Pak Isa. Mamat telah bertekad dalam dirinya bahawa dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk menjadikan dirinya seperti Abang Lazim. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa Mamat sanggup menghadapi pelbagai halangan dengan meletakkan segala tanggungjawab yang pernah digalas oleh Abang Lazim suatu ketika dahulu berada di bahunya kini. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita mengenai semangat setia kawan yang tertanam dalam diri Mamat walaupun sahabat baiknya telah meninggal dunia.
ii.        Budaya kasih sayang
Novel Juara telah menunjukkan kepada kita budaya kasih sayang yang mana kita boleh melihat bahawa kehidupan mereka yang serba kekurangan telah menjadikan kasih sayang sebagai pengikat hubungan kekeluargaan dalam masyarakat yang digambarkan dalam novel ini. Petikan di bawah merupakan petikan yang menunjukkan budaya kasih sayang yang diamalkan oleh masyarakat yang digambarkan dalam novel Juara, iaitu :
“Jangan banyak bergerak. Luka banyak. Tapi semuanya sudah diubatkan,” kata Minah dengan tenang. Menyeka keringat yang muka berbaris di muka Mamat.
(Juara halaman 66)
Berdasarkan petikan di atas, ia menceritakan mengenai kasih sayang seorang isteri kepada suaminya. Budaya kasih sayang ini telah ditonjolkan oleh Minah, iaitu isteri kepada Mamat. Minah sangat menjaga keperluan dan kesihatan Mamat dengan penuh kasih sayang. Hal ini dapat dibuktikan apabila Minah menjaga suaminya yang sedang sakit dengan penuh berhati-hati akibat diserang lembu peliharaannya. Malahan, Minah tidak mengeluh semasa dia menjaga dan mengubati suaminya yang sedang sakit bahkan dia menjaga Mamat dengan penuh kasih sayang.
iii.      Budaya keberanian
Keberanian merupakan sikap gagah seseorang dalam melakukan sesuatu perkara. Budaya keberanian ini banyak ditonjolkan dalam novel Juara. Petikan di bawah merupakan petikan yang menggambarkan sikap keberanian yang ditonjolkan oleh pengarang dalam watak novel ini, iaitu :
Malam semalam keputusan akhir telah dicapai. Pertaruhan ini paling besar dalam sejarah pertarungan lembu. Pak Isa telah menetapkan dua ratus ribu baht. Abang Lazim menyanggupinya. Ada dua puluh orang yang menjadi orang dalam. Mereka akan menanggung segala kerugian kalau Calet kalah.
(Juara halaman 93)
Berdasarkan petikan di atas, ia menceritakan mengenai keberanian yang ditunjukkan oleh Abang Lazim untuk menyertai pertarungan lembu yang melibatkan sejumlah wang pertaruhan yang besar. Pertaruhan antara lembu Abang Lazim dengan Pak Isa merupakan pertarungan yang paling besar dalam sejarah pertarungan lembu yang pernah dipertaruhkan. Oleh itu, keberanian Abang Lazim untuk menyertai perlawanan laga lembu ini memberikan gambaran bahawa masyarakat pada zaman itu mempunyai budaya keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan yang membawa kesan yang cukup besar.

iv.      Budaya kesetiaan
Kesetiaan merujuk kepada keteguhan hati dalam menjalinkan sesebuah hubungan sama ada hubungan perkahwinan atau hubungan persahabatan. Budaya kesetiaan ini banyak ditonjolkan oleh watak-watak yang terdapat dalam novel Juara. Petikan di bawah merupakan petikan yang menunjukkan budaya kesetiaan yang bertindak menguji hati watak-watak dalam novel ini, iaitu :
Minah lebih suka mendengar daripada berkata-kata. Inilah kelebihan Minah, fikirnya. Minah tidak banyak bercakap. Minah cepat bertindak dan setia dalam hidup. Minah sebenarnya perempuan sejati. Kesetiaannya kepada suami dan anak-anak tidak terhingga. Kalau dia menangis, tangisannya kerana anak-anaknya juga. Seratus persen Minah dilahirkan untuk suami dan anak-anaknya.
(Juara halaman 79)
Berdasarkan petikan di atas, kita dapat melihat kesetiaan seorang isteri terhadap suami dan anak-anaknya. Budaya kesetiaan ini ditonjolkan oleh watak Minah yang sangat menjaga keharmonian rumah tangganya bersama suami dan anak-anaknya. Kesetiaan Minah turut diakui oleh suaminya sendiri yang telah menyatakan bahawa Minah merupakan seorang isteri yang setia kerana hidupnya hanya memikirkan perihal Mamat dan anak-anaknya sahaja.
v.        Budaya tolong-menolong
Tolong-menolong adalah aktiviti saling membantu antara satu sama lain. Budaya tolong-menolong ini banyak diterapkan dalam novel Juara. Petikan di bawah merupakan petikan yang menunjukkan budaya tolong-menolong dalam kalangan masyarakat yang terdapat dalam novel Juara, iaitu :
Jali hanya menjaga keluarga Mamat selama Mamat kepergian ke Kelantan. Jali benar-benar mengharapkan keluarga itu selamat. Manalah tahu kalau-kalau Selamah dan Milah dilarikan orang? Faisah? Tidak. Faisah bersama-sama bapaknya.
(Juara halaman 36)
Berdasarkan petikan di atas, ia telah menceritakan kepada kita mengenai sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jali terhadap keluarga Mamat semasa Mamat pergi ke Kelantan. Hal ini telah menunjukkan kepada kita bahawa masyarakat pada masa tersebut saling membantu antara satu sama lain. Jali menjaga anak-anak Mamat dengan baik kerana bimbang sekiranya sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku sewaktu Mamat pergi ke Kelantan. Sikap saling membantu ini banyak ditonjolkan oleh pengarang dalam menceritakan budaya masyarakat pada zaman itu.  
Pandangan Hidup
Menurut Seri Lanang Jaya (2016) dalam buku Karya Agung Melayu telah menyatakan bahawa pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Syed Naquib Al-Attas (1972) menyatakan bahawa pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Secara keseluruhan, pandangan hidup adalah suatu pendapat atau pertimbangan yang dijadikan sebagai pegangan, pedoman, arahan, petunjuk dalam kehidupan.
i.          Berpegang dengan agama islam
Antara aspek pandangan hidup yang dapat kita lihat dalam novel Juara adalah mengenai keagamaan. Keagamaan yang ditonjolkan dalam novel ini boleh dilihat melalui watak Mamat, Lebai Syukur, Jali, Mat San, Semail dan Setapa yang membaca zikir untuk arwah Abang Lazim.
“Mamat ikut berzikir bersungguh-sungguh. Dia mengharapkan pahala zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Qurannya akan diterima Allah seratus persen untuk arwah Abang Lazim.”
(Juara halaman 18)
Berdasarkan petikan di atas, kita sebagai umat Islam perlulah sentiasa mengingati kematian kerana hal ini akan menjadikan kita lebih ikhlas dalam menjalani kehidupan seharian kita. Majlis tahlil juga merupakan suatu nilai budaya dalam masyarakat Melayu Islam. Malahan, Mamat juga sendiri digambarkan sebagai seorang yang warak. Hal ini dapat dibuktikan apabila Mamat selalu mengimamkan solat jemaah di rumahnya. Walaupun Mamat seorang yang suka berjudi dan laga lembu namun dia tetap percaya dan berpegang teguh kepada agamanya.
Pandangan hidup Mamat adalah tidak mengapa jahat sekalipun, asalkan ada pegangan agama. Pandangan hidup Mamat merupakan pandangan hidup yang salah. Hal ini kerana Mamat sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya menjalani kehidupan berlandaskan syariat Islam. Oleh itu, Mamat seharusnya berusaha untuk meninggalkan amalan berjudi dan laga lembu yang sememangnya menjadi larangan dalam Islam
ii.        Isteri wajib setia kepada suami
Kesetiaan adalah satu aspek penting yang harus dipegang oleh manusia kerana kesetiaan sesama manusia penting untuk menjaga hubungan baik antara manusia. Novel Juara telah memaparkan pandangan hidup mengenai kesetiaan, iaitu seorang isteri wajib taat dan setia terhadap suaminya. Dalam novel ini, watak Minah merupakan seorang yang sangat setia terhadap suaminya, Mamat dan anak-anaknya. Minah merupakan seorang isteri yang setia dan taat menuruti segala kehendak suaminya.
Minah membungkam juga. Minah lebih suka mendengar daripada berkata-kata. Inilah kelebihan Minah, fikirnya. Minah tidak banyak cakap. Minah cepat bertindak dan setia dalam hidup. Minah sebenarnya ialah perempuan sejati. Kesetiaannya kepada suami dan anak-anak tidak terhingga.
(Juara halaman 79)
Berdasarkan petikan di atas, pandangan hidup yang dipegang oleh Minah merupakan suatu pandangan hidup yang benar kerana seorang isteri perlulah taat kepada suaminya. Hal ini disebabkan tanpa kesetiaan atau ketaatan seorang isteri, kehidupan rumah tangga pasti akan menjadi porak-peranda.



iii.      Dendam mesti dibalas
Pandangan hidup dendam mesti dibalas ini ditampilkan melalui watak Mamat yang begitu menyayangi sahabatnya, Abang Lazim. Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa kematian Abang Lazim. Kematian sahabat Mamat, Abang Lazim merupakan suatu tamparan yang hebat kepada diri Mamat. Mamat hampir mengamuk dan mengajak orang ramai untuk pergi membalas dendam atas kematian Abang Lazim yang mati akibat dibunuh oleh Pak Isa.
“Pak Isa ya?” soalnya kepada diri sendiri, dengan ucapan kasar. “Tidak ada orang yang kebal di dalam daerah ini!” dia bersungut sendirian. “Marilah bersamaku, kita selesaikan segera hutang piutang!”.
(Juara halaman 5)
Berdasarkan petikan di atas, kita dapat lihat bahawa Mamat begitu berdendam dengan Pak Isa atas kematian sahabat baiknya, Abang Lazim. Walaupun Mamat akhirnya berjaya ditenangkan oleh orang ramai yang ada di situ namun hatinya jelas menyimpan dendam dan berazam untuk membalas dendam atas kematian sahabatnya. Pandangan hidup yang dipegang oleh Mamat adalah kita mesti membalas semula keburukan yang orang lain lakukan terhadap kita. Oleh itu, Mamat ingin membunuh orang yang telah membunuh sahabatnya, Abang Lazim kerana menurut akalnya, iaitu keadilan.
Pandangan hidup yang dipegang Mamat ini jelas merupakan suatu pandangan hidup yang salah. Mamat seharusnya sedar bahawa sekiranya dia membunuh orang yang membunuh sahabatnya, sahabat atau kenalan orang yang ingin dia bunuh itu pula akan datang untuk menuntut bela pada masa akan datang. Kesimpulannya, rantaian balas dendam ini akan berterusan dan menjadi tradisi kehidupan mereka malahan akan merugikan semua pihak. Selain itu, ramai yang akan menjadi mangsa kepada nafsu amarah dan dendam kesumat ini. Mamat bukan sahaja akan membahayakan kehidupannya malah kehidupan isteri dan anak-anaknya juga. Mamat sepatutnya bersabar dan menyerahkan segalanya kepada Ilahi.

iv.      Pendidikan boleh menjamin kejayaan hidup
Apek pandangan hidup dari segi kekeluargaan ini banyak diterapkan dalam novel Juara. Antara aspek ini yang jelas ditampilkan adalah melalui watak Mamat yang sentiasa mengharapkan kejayaan anaknya, Jusuh.
“Dia mengharapkan anak laki-lakinya ini akan beroleh tempat tegaknya yang baik di Kelantan. Dia mengharapkan Jusuh akan tetap naik dengan pelajarannya. Janganlah menerima nasib seperti dirinya.”
(Juara halaman 17)
Berdasarkan petikan di atas, Mamat jelas mengharapkan kejayaan untuk anaknya, Jusuh. Dia tidak mahu anaknya menjadi seperti dirinya. Pandangan hidup yang dipegang Mamat adalah tidak mengapa jika ayah jahat dan gagal, asalkan anaknya baik dan berjaya dalam pembelajaran. Pandangan hidup Mamat ini ada betulnya namun tetap salah secara keseluruhannya. Kita ada mendengar peribahasa Melayu yang mengatakan “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Mamat sebagai seorang ayah sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik untuk anaknya, Jusuh sekiranya dia mahukan anaknya itu menjadi seorang insan yang baik. Hal ini kerana anak-anak yang membesar akan mengikut jejak langkah orang tua mereka.
v.        Mengagungkan perjudian, keganasan dan pembunuhan
Kehidupan Mamat sering dihimpit kemiskinan telah memaksa dirinya untuk terus terikut dan terpengaruh dengan budaya masyarakat setempat yang suka berjudi laga lembu. Mereka seolah-olah mengagungkan perjudian dan berasa sangat teruja untuk menyertai judi laga lembu.
Kita tentu dapat banyak wang, tegasnya lagi dengan penuh harapan. Orang tentu banyak menahan sebelah Langsat.
(Juara halaman 92)

“Pertaruhan yang terlalu besar. Dan, wangnya mesti pula tunai!”
(Juara halaman 94)
Berdasarkan petikan di atas, kita dapat melihat bahawa masyarakat yang berada di sekeliling Mamat berpegang kepada pandangan hidup yang mengagungkan perjudian, keganasan dan pembunuhan. Masyarakat bebas dan tidak takut untuk membawa senjata seperti parang, kelewang dan senapang. Pembunuhan untuk membalas dendam pula seakan-akan menjadi perkara wajib yang perlu ditunaikan. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Mamat yang ingin menuntut bela atas kematian Abang Lazim.
                    
3.4       Estetika Dan Kepengarangan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) estetika membawa maksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Hal ini secara tidak langsung nilai estetika ialah penggunaan dan pemilihan kata-kata yang puitis yang digunakan oleh seseorang pengarang dalam menghasilkan sesebuah karya.
Estetika pula dikaitkan dengan pemakaian bahasa atau gaya bahasa. Gaya bahasa ialah cara atau ragam yang digunakan dalam penulisan atau lisan ataupun penggunaan bahasa dalam sesebuah karya yang digunakan oleh seseorang pengarang.
1.      Metafora
Metafora merupakan gabungan daripada dua kata iaitu “meta” yang membawa maksud memindahkan dan ‘pherein’ yang bermaksud membawa. Perkataan metaforo pula berasal daripada bahasa Yunani. Perkataan ini biasanya mengandungi satu kata konkrit dan satu kata abstrak iaitu perbandingan tidak terus. Gaya bahasa metafora ialah sejenis gaya bahasa perbandingan yang paling ringkas, padat dan teratur. Gaya bahasa ini tidak menggunakan kata seperti, umpama, laksana, bagai, bak, ibarat atau serupa. Jadi, metafora ialah pemikiran kata-kata untuk menyatakan erti yang berbeza daripada yang sebenarnya, iaitu sebagai kiasan.
Antara contoh penggunaan gaya bahasa metafora dalam karya Juara ialah seperti berikut:
Dia merenung malam gelap itu dalam detakan kecil hujan gerimis yang masih turun. Dia seolah-olah berada dalam satu gua masalah yang sangat hebat.
Juara halaman 54
Dia berjalan pulang dengan pantas. Gunung kebanggaan yang terpacak kemas dalam dadanya akan diruntukan di hadapan Minah yang rusuh berhari-hari.
Juara halaman 107

2.      Personifikasi
Perkataan personifikasi berasal daripada bahasa Latin. Perkataan ini merupakan cantuman dua perkataan iaitu “persona” dan “fic”. Perkataan “persona” membawa maksud orang atau pelaku atau actor atau topeng yang dipakai dalam persembahan drama. Makala ‘fic” ialah perkataan yang bererti membuat membuat. Oleh itu dikaitkan dengan segala sifat yang memiliki oleh manusia bagi segala macam benda yang tidak bernyawa.
Oleh yang demikian, personifikasi ialah sejenis gaya bahasa perbandingan, iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi orang atau sifat-sifat yang dimiliki oleh manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa atau idea yang abstrak. Contoh personifikasi yang terdapat dalam novel Juara ialah:

Kelewangnya dibaringkan di atas meja
Juara halaman 21
Sebaris asap tipis menari-nari di ats mulutnya.
Juara halaman 41

3.      Hiperbola
Hiperbola ialah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani. Kata majmuk ini dibina melalui gabungan perkataan ‘hyper’ yang membawa maksud melebihi dan ‘ballien’ yang bermaksud luahkan atau keluarkan. Oleh yang demikian, maksud hiperbola ialah pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan semata-mata untuk mencapai kesan tertentu iaitu suatu gaya bahasa yang mengandungi kebenaran yang diperbesar-besarkan.
Hiperbola juga merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan yang mengandungi kenyataan sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau. Hal ini kerana adalah bertujuan untuk memberikan penekanan maksud terhadap sesuatu perkara atau situasi demi memperhebatkan dan meningkatkan kesan dan pengaruhnya.
Contohnya:
Dia melihat Abang Lazim dibanjiri darah. Tubuh Abang Lazim diselimuti seluruhnya dengan darah yang sudah mulai pekat. Dia tidak berseru lagi.
Juara halaman 5
Dia merenung gelap malam dalam detakan kecil hujan gerimis yang masih turun. Dia seolah-olah berada dalam satu gua masalah yang sangat hebat. Sangat dasyat. Sangat serabut dan tidak menemui punca.
Juara halaman 54

4.      Simile
Simile merupakan perumpamaan. Perkataan simile berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘seperti’. Simile merupakan perbandingan terus iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata ‘seperti’, ‘laksana’, ‘bagai’, ‘umpama’, ‘bak’, ‘sebagai’, ‘macam’ dan sebagainya. Contoh yang terdapat dalam petikan novel ialah:

Tidak! Mamat membentak. Kematian Abang Lazim tidak akan terbiar begitu sahaja. Anak-anak Abang Lazim, Sani yang bertubuh macam arang, kira-kira tiga puluh lima tahun, Salim yang gemuk pendek, barangkali tiga puluh tahun, dia sendiri dan anak buah Abang Lazim, Jali tidak akan membiarkan begitu sahaja.
Juara halaman 10
Mamat segera melihat keberangan dan kehandalan Calet memenangi pertarungan pagi tadi. Tanduk kupit Calet yang kukuh seperti besi itu memulas tanduk seligi Langsat Pak Isa.
Juara halaman 13-14
Di sini manusia murah seperti kapur.
Juara halaman 9
5.      Singkof
Singkof merupakan unsur estetika yang memberi singkatan kata. Singkatan yang digunakan tidak menjejaskan maksud yang ingin disampaikan. Contohnya:

“Dah tengok?” jali ingin mengetahui tentang sifat lembu lawan Aral.
Juara halaman 138
“Aku setuju dengan kata-katamu,” Sani menyokong Jali.
Juara halaman 39

6.       Dialek
Disebabkan pengarang S. Othman Puteh berasal daripada Kelantan, maka beliau mengetengahkan beberapa dialek Kelantan. Bahasa dialek merupakan variasi bahasa yang digunakan dalam sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard.
Antara contoh yang terdapat dalam novel tersebut ialah:

“Biar ambo balik,” kata Mat San
Juara halaman 117
“Aku tak lih kata gitu,” jawab Mamat dengan perlahan.
“Biarlah ambo balik tengok.
Juara halaman 117

Kepengarangan
1.      Monolog dalaman
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat monolog membawa maksud percakapan yang agak panjang oleh seorang pelakon sahaja dalam sesuatu drama filem. Berdasarkan novel ini juga memperlihatkan ciri kepengarangan S. Othman Kelantan. Melalui novel ini, pengarang banyak menggunakan teknik monolog dalaman. Monolog dalaman bermaksud kata-kata yang terucap di dalam hati sahaja tanpa didengari oleh orang lain. Keadaan ini banyak berlaku terhadap watak utama iaitu Mamat. Contohnya seperti berikut:

Pasti! Dia memutuskannya dalam hati. Sesuatunya harus berjalan dengan berpadanan. Mengapakah kerana kalah harus membunuh orang? Inilah sikap Pak Isa. Inilah! Kata Mamat dalam hati. Dia sendiri sudah berapa banyak kalah. Abang Lazim juga begitu. Dia tidak pernah membunuh. Abang Lazim juga tidak pernah membunuh. Segarang-garang Jali dia tidak pernah membunuh. Mengapa Pak Isa membunuh. Mengapa ?

2.      Teknik imbas kembali
Selain itu, pengarang juga turut menggunakan teknik imbas kembali dalam menggarapkan jalan cerita tersebut. Pengarang banyak menerapkan teknik ini terutamnya pada watak utama dalam cerita tersebut. Teknik imbas kembali membawa maksud mengingati kembali peristiwa yang telah atau menceritakan semula keadaan atau situasi yang berlaku dalam kehidupan seseorang.

Dia teringat kepada Mat San. Walaupun umurnya lebih tua daripada Jali, otaknya lebih lembap. Mat San meninggalkan kampung Gunung Timur hampir bersamaan dengan perpindahnnya ke Bangnara walaupun terkemudian sedikit. Mulanya Mat San hanya berulang-alik sahaja. Kerjanya hanya menorah getah juga. Kemudian Mat San menetap di sini setelah mendapat surat dapur. Kemudian kahwin lagi dengan seorang anak perempuan jiran.
Juara halaman 50
3.      Teknik pemerian
Teknik pemerian merupakan teknik yang paling banyak digunakan oleh pengarang. Pengarang menggunakan teknik ini adalah bertujuan untuk bercerita secara langsung tentang apa sahaja sama ada peristiwa, watak dan perwatakan atau latar cerita tersebut.

Contohnya :
Jali, Sani dan Salim ikut turun. Dengan senapang laras duanya, Mamat turun ikut dapur. Mereka berjalan cepat-cepat. Jarak antara rumah Mamat dengan rumah Sani hanya satu bukit yang lebih baik disebutkan busut besar sahaja. Jali mencekak kelewangnya. Sani mencekak hulu kapak binjai manisnya. Salim mencekak tongkat enam sembilannya. Di dalam baju dalam Salim terselit browning.
      
       Juara halaman 43
4.      Teknik dialog
Dialog merupakan percakapan watak dengan watak dalam cerita iaitu dua watak watak atau lebih akan berbalas kata. Teknik ini juga banyak terdapat dalam novel ini. Melalui teknik ini penulis ingin menyampaikan cerita secara tidak langsung. Dengan adanya teknik ini pembaca akan dapat mengetahui sesuatu peristiwa.

“Bagaimana Aral?” tiba-tiba Mamat mengalihkan percakapan mereka. Mamat teringat akan Aral, anak lembu muda yang tegak batang tengkuknya itu.
“Ambo kurung di belakang”, jawab Sani. Tangannya dengan cepat menjangkau seketul ubi rebus. Mengoyaknya. Memerluskan ke dalam mulutnya. Sebaris asap tipis menari-nari di atas bibirnya. Separuhnya masuk ke dalam lubang hidungnya.
“ Aral tu boleh ganti Calet,” kata Mamat.
Juara halaman 41

3.5       Nilai Ilmu
Nilai ilmu merupakan antara elemen yang sering diterapkan dalam sesebuah karya. Nilai ilmu yang diterapkan dalam karya secara tidak langsung dapat menyebarkan pengetahuan kepada pembaca. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081) dalam Karya Agung Melayu, perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu, dan taraf. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh yang demikian, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Manakala, ilmu pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan lain-lain. Setiap karya yang dihasilkan pasti akan menyelitkan beberapa nilai ilmu yang terdiri daripada ilmu firasat, ilmu pendukunan, ilmu jampi, dan ilmu pengasih, ilmu teologi, ilmu etika, ilmu mantik, ilmu kosmologi, ilmu estetika dan ilmu metafizika. Berdasarkan novel Juara, pengarang telah menyelitkan beberapa nilai ilmu yang berkaitan dengan jalan cerita novel tersebut iaitu:
1.      Ilmu Politik
Politik amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Golongan yang ingin menceburi bidang politik perlu mempunyai pengetahuan yang meluas berkaitan bidang politik. Ilmu politik adalah ilmu yang mempelajari kehidupan suatu negara yang merupakan bahagian daripada kehidupan masyarakat dan ilmu politik ini mempelajari negara-negara iti melakukan tugasnya. Menerusi novel Juara ini, pengarang telah menerapkan nilai ilmu politik dalam beberapa plot penceritaannya. Hal ini dapat dilihat melalui watak Mamat yang bergiat aktif dalam bidang politik sebelum terlibat dengan dunia laga lembu.
Mamat merupakan tokoh politik yang terlibat secara langsung memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Apabila kemerdekaan tercapai dia mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam pilihan raya dengan tujuan untuk terus kekal menjadi tokoh politik sebagai pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat. Namun, Mamat telah gagal dalam pilihan raya tersebut dan kerana itu dia dan keluarganya telah berpindah ke selatan siam . Mamat juga bersumpah untuk tidak mencampuri urusan politik. Walaubagaimanapun, cita-cita dan keinginannya tetap ada namun dia akhirnya memilih untuk menjadi pelaga lembu. Hal ini dapat dilihat pada teks berikut:
Mamat tiba-tiba teringat kepada perjuangan politiknya. Gelanggang politik dengan gelanggang lembu tidak jauh bezanya dalam praktik. Lembu itu pun sama dengan politik. Sama-sama diperjudikan. Kalau lembu kalah orangnya pun sama kalah. Politik itu lembu, lembu itu pun politik, fikir Mamat sebentar.
                                                                                                          Juara halaman 101

      Oleh itu, ilmu politik yang diterapkan dalam novel Juara ini secara tidak langsung memberi pengetahuan kepada pembaca bahawa seseorang yang ingin menceburi bidang politik juga perlu mempunyai ilmu tentang hal ehwal politik.

2.      Ilmu Berkaitan Lembu
Dalam novel Juara, ilmu berkaitan lembu banyak diperihalkan oleh pengarang. Pengarang menggambarkan bahawa masyarakat Melayu atau Kelantan pada masa tersebut sangat pandai atau mempunyai ilmu mengenai haiwan lembu. Berdasarkan novel ini, watak  Mamat dikatakan sangat pandai dalam ilmu berkaitan lembu. Dia dapat mengetahui sama ada lembu tersebut boleh dibawa masuk bong untuk bertanding atau pun sebaliknya dan adakah lembu itu kuat atau pun sebaliknya. Ilmu berkaitan lembu ini membolehkannya menjadi juara dalam pertandingan laga lembu. Lembu-lembu peliharaan Mamat sangat kuat dan garang jika dibandingkan dengan lembu-lembu yang lain. Antara lembu peliharaan Mamat yang telah dibawa masuk bong ialah Calet dan Aral. Ilmu mengenai haiwan ini sebenarnya merupakan suatu ilmu yang bagus. Namun, penyalahgunaan ilmu ini seperti melibatkan unsur wang dan perjudian bole membawa kesan yang buruk kepada masyarakat. Teks berikut merupakan contoh pengarang menyelitkan ilmu berkaitan lembu ini.
“Tanda ini mudah tertipu”, kata Mamat lagi. “kadang-kadang pusaran tanda kijang itu dibuat-buat sahaja. Waktu kita membeli senang tertipu . pusaran boleh dibuat dengan pelepah pisang. Dikerat dan dipolet dua tiga kali. Pusaran kijang itu tidak akan hilang dalam sehari dua.”
“kalaupun Aral ini nak kalah, dia boleh menipu dengan berpusing dua kali. Lawannya akan keliru. Dia boleh menikam maut,” Mamat berkata sambil menggosok-gosok di bawah pusat lembu muda yang sasa itu.   
                                                                                                 Juara halaman 44


3.      Ilmu Laga Lembu
Dalam novel Juara, pertandingan laga lembu merupakan kayu ukur untuk menilai siapa yang hebat dan berhak menjadi juara. Oleh itu, dalam novel ini kita dapat melihat bagaimana pengarang cuba mengaitkan ilmu politik ke dalam ilmu laga lembu ini. Persamaan antara kedua ilmu ini adalah kedua-duanya melibatkan unsur persaingan. Pelaga lembu ibarat parti politik yang sentiasa menegakkan perjuangan dan mempertahankan hak masing-masing dan perlawanan laga lembu diibaratkan seperti medan pertembungan pemikiran serta percakaran politik yang akhirnya kemenangan akan tercapai bagi mereka yang kuat. Hal ini seperti mana lembu itu sendiri dan bagaimana strategi yang diatur oleh pelaga lembu untuk beroleh kemenangan, maka begitu jugalah yang terjadi dalam medan politik.
Dalam medan politik Mamat digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang tewas sebaliknya dalam medan laga lembu Mamat diletakkan sebagai “Juara.” Pertaruhan wang ringgit, unsur sabotaj, hasad dengki dan penyelewengan telah disuarakan oleh pengarang dalam perlawanan laga lembu. Secara analoginya pengarang cuba mengaitkan hal ini berdasarkan realiti politik sebenar. Individu tertentu sahaja yang berani menerokai ilmu bidang politik ini. Berdasarkan novel Juara, nilai ilmu ini dapat dilihat seperti contoh di bawah:       
Dia sudah kalah main politik, dia tidak mahu kalah sekali lagi dalam lapangan yang berlainan ini. Dia bangga dengan kemenangannya sebagai pahlawan lembu. Julukan itu tidak ada apa-apa hinanya di daerah ini. Nama julukan itu memudahkan dia mendapat wang dari mana sahaja. Dari mana sahaja. Bila-bila!
                                                                                                              Juara halaman 30
Dia berjuang terus-menerus sejak zaman mudanya. Dua puluh tahun dalam politik berakhir dalam Persatuan Melayu. Dan, kerana kegagalannya untuk memenangi pilihan raya sebanyak dua kali, maka dia bersumpah tidak akan meneruskan perjuangan dalam politik. Dia menyambungkan perjuangannya di dalam bong lembu.
       Juara halaman 71
4.      Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Berdasarkan novel Juara, pengarang memperlihatkan watak utama iaitu Mamat mempunyai ilmu firasat ini. Mamat telah membuat ramalan mengenai lembu mudanya iaitu Aral. Dia menyatakan bahawa Aral lebih kuat dari lembunya yang dulu iaitu Calet.
“Aral lebih sasa dari Calet kalau diasuh betul.” Mamat menegaskannya sungguh-sungguh. Dalam kepalanya segera menangkap rupa anak lembu itu. Badannya yang agak panjang. Kukunya membelok ke dalam. Alamat tegak tempat berdiri dan sukar ditolak oleh lawan. Engguhnya besar dan tinggi. Alamat kuat batang lehernya. Lehernya besar. Di atas belakangnya jalur racik yang halus. Jalur racik ini jarang ada pada lembu-lembu adu biasa. Ini alamatnya tidak lari. Bengkeng dan payah mengenal gembala kalau marah.
             Juara halaman 42-43

4.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, S.Othman Kelantan telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang penulisan novel tanah air. Beliau juga merupakan seorang tokoh Anugerah Sasterawan Negara ke-9 malahan seorang yang berjiwa patriotik dalam menghasilkan karya-karya seni yang bermutu tinggi. Dalam novel Juara, beliau telah menyelitkan unsur-unsur patriotik selain mengetengahkan latar belakang penceritaan yang berlaku di negeri kelahirannya, iaitu Kelantan. Novel Juara juga telah banyak memberikan nilai-nilai yang baik untuk kita aplikasikan dalam diri sendiri diri sendiri.
Sumbangan-sumbangan S.Othman Kelantan perlulah kita kenang dan memberi penghargaan sewajarnya kepada beliau kerana hasil karya yang dihasilkan oleh beliau merupakan sebuah karya yang amat berguna untuk kita terapkan nilai-nilai murni dalam diri sendiri. Karya-karya beliau juga perlulah dicontohi oleh pengarang muda masa kini selain meneruskan legasi perjuangan S.Othman Kelantan dalam memartabatkan bidang penulisan novel tanah air. Pemikiran beliau dalam mencorakkan bidang kepengarangannya ternyata suatu sumbangan yang besar dan bermakna kepada negara.


0 comments:

Post a Comment