1.0 Pengenalan
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2007), karya bermaksud buatan atau ciptaan sesuatu manakala
agung membawa maksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa, dan
terkemuka. Karya agung boleh diertikan sebagai ciptaan atau buatan yang terutama,
tertinggi, dan teristimewa daripada seseorang pengarang.
Karya agung merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya,
pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama
sesuatu bangsa. Karya agung juga dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya
masyarakat yang menghasilkannya. Ia juga melambangkan daya cipta dan kreativiti
sesuatu bangsa untuk melambangkan identitinya yang tersendiri. Hal ini
menyebabkan falsafah, pemikiran, karya seni, budaya dan sastera yang terdapat
dalam karya agung menjadi pegangan dan panduan bagi masyarakat yang hidup pada
zaman ini.
Selain itu, karya-karya agung ini mengungkapkan pelbagai perkara
termasuklah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan karya agung yang
ada pada hari ini dikaji untuk diketahui isi kandungannya dan ada di antara isi
kandungan itu masih berguna sehingga hari ini dan dipelajari. Keadaan ini
membuktikan bahawa karya agung itu adalah satu hasil penulisan yang berkualiti
dan ditulis oleh orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi dalam masyarakat
tersebut.
Terdapat banyak karya agung yang terkenal dan salah satunya adalah
Hikayat Merong Mahawangsa. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, penulis banyak
menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral
dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi
nilainya sehingga kesan seni budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam
minda kolektif bangsa Melayu. Oleh itu, dalam Hikayat Merong Mahawangsa akan
dikupas dengan lebih lanjut mengenai pemikiran, falsafah, nilai budaya dan
pandangan hidup serta estetika dan kepengarangan yang terdapat dalam hikayat
tersebut.
2.0 Sinopsis
Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat cerita ini
adalah berkisarkan mengenai sejarah pembukaan negeri Kedah oleh Merong
Mahawangsa yang didakwa sebagai keturunan Iskandar Agung pada abad ke 12
masihi. Pengarang mengemukakan
kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan legenda atau cerita-cerita
khayalan yang dipercayai masyarakat sama ada bersifat tempatan, hindu dan
sebagainya.
Kemuncak cerita ini adalah apabila Merong Mahawangsa terselamat daripada
serangan burung garuda ketika mengiringi rombongan Putera Rom ke China untuk
tujuan perkahwinan telah melarikan diri sehingga tiba di sebuah kawasan yang
bernama Langkasuka. Disinilah beliau diangkat sebagai raja oleh masyarakat
setempat kerana keberanian beliau yang luar biasa.
Pada akhir cerita tersebut pengarang dilihat mula meriwayatkan sejarah
Hikayat Merong Mahawangsa dengan sebenar-benarnya selepas kemasukan agama
islam. Agama islam bermula apabila Syeikh Abdullah Yamani telah mengimslamkan
Raja Phar Ong Mahawangsa yang telah menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar
Shah. Kedatangan islam dilihat telah membawa sinar baharu dan menjadi titik
kegemilangan kerajaan Kedah pada ketika itu.
3.0 Aspek Yang Dianalisis
Berdasarkan Hikayat
Merong Mahawangsa yang dikaji, terdapat beberapa aspek utama yang dikaji oleh
pengkaji. Aspek yang dikaji ini lazimnya dikaji dalam penelitian sesebuah karya
agong. Antara aspek tersebut termasuklah pemikiran dalam karya agung, falsafah,
nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung, nilai ilmu dalam karya
agung dan teknik kepengarangan dan seni bahasa dalam karya agung. Aspek-aspek
ini akan dilihat dalam naskhah Hikayat Merong Mahawangsa yang diselenggara oleh
Siti Hawa Salleh seperti berikut:
3.1 Pemikiran Dalam Hikayat Merong Mahawangsa
Pemikiran merupakan idealisme yang cuba
dipaparkan oleh pengarang. Melalui pemikiran pengarang, pembaca dapat melihat
persoalan, tema dan mesej yang ingin dibawakan oleh pengarang dalam karyanya.
Menurut S.Othman Kelantan (1997), pemikiran merupakan satu fikiran atau idea
yang muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan bijak pandai ini
cuba mengupas konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya dan
menterjemahkannya dalam bentuk pemikiran. Berdasarkan Hikayat Merong
Mahawangsa, beberapa pemikiran telah diterjemahkan oleh pengarang. Pemikiran
yang cuba dipaparkan oleh pengarang adalah berfokuskan kepada sejarah negeri
Kedah. Salah satu pemikiran yang ingin digarapakan oleh pengarang adalah
tentang bagaimana sejarah negeri Kedah ditubuhkan. Pengarang cuba
mengetengahkan bahawa negeri Kedah dibuka oleh pemimpin yang berwibawa.
Pembukaan negeri Kedah bertitik tolak dari peristiwa perjanjian antara burung
Garoda dengan Nabi Allah Sulaiman yang menyatakan bahawa dia akan memisahkan
hubungan yang akan dijalinkan antara Raja Rom dan Raja China yang ingin
mengahwinkan anak-anak mereka.
Burung Garoda telah
melakukan perjanjian untuk menghalang hubungan antara kedua-dua buah negara
tersebut. Sewaktu pelayaran menghantar rombongan meminang tersebut, kapal yang
dinaiki oleh anak Raja Rom dan Merong Mahawangsa telah diserang secara
bertubi-tubi oleh burung Garoda. Hal ini menyebabkan mereka terpisah dan
peristiwa itu menyebabkan Merong Mahawangsa menjumpai satu kawasan yang diberi
nama Langkasuka. Merong Mahawangsa telah memerintah negeri tersebut dengan
baik. Setelah beberapa memerintah, Raja Merong Mahawangsa perlu berlayar semula
ke negeri Rom untuk membawa semula anak Raja Rom yang dijumpai oleh utusan
China. Sebelum berlayar, Raja Merong Mahawangsa telah memberikan takhtanya
kepada puteranya iaitu Merong Mahadipusat untuk memerintah Langkasuka. Seterusnya, nama Langkasuka telah ditukar
kepada negeri Kedah Zamin Turan. Hal ini dibuktikan berdasarkan teks yang
berikut:
“… Maka sembah segala menteri, ‘patut sangat
tuanku menamakan negeri ini, supaya tidak sesat daripada sebutannya.’ Maka
sembah pula menteri Rum, ‘bukanlah dengan kemudahan juga mendapat negeri ini,
dengan tiada sukarnya, jikalau kepada namanya pun demikian jua.’ Maka titah
Raja Merong Mahawangsa, ‘jika demikian, hendaklah kita namakan negeri ini
Negeri Kedah Zamin Turan sebutannya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 30)
Berdasarkan Hikayat
Merong Mahawangsa, pengarang meriwayatkan bahawa Kedah merupakan negeri pertama
di sebelah utara semenanjung yang diasaskan malahan Kedah jugalah yang
diuar-uarkan sebagai pengasas kepada beberapa buah kerajaan luar lain seperti
Pattani, Perak dan juga Siam. Menurut
Hikayat ini Raja Kedah yang kedua iaitu Raja Merong Mahapudisat telah mengikut
arahan ayahandanya untuk memartabatkan anakandanya di beberapa kawasan baharu.
Telah diriwayatkan bahawa setelah putera-puterinya meningkat dewasa Raja
Mahapudisat telah mengurniakan kepada mereka alat kebesaran negeri beserta
pengiring untuk merantau bagi membuka negeri baru. Hal ini dapat dilihat pada
petikan teks berikut;
“Serta titahnya, ‘ hai anakku Raja
MerongMahadipusat, jikalau anakku beroleh anak pada zaman ini, hendaklah anakku
rajakan akan dia seorang sebelah utara barat laut, seorang sebelah selatan
timur menenggara daripada negeri Kedah ini dan seorang sebelah matahari naik
antara timur laut.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 30)
Oleh itu, melalui petikan teks ini, Putera
Sulungnya telah membuka Negara di utara Negeri Kedah yang dinamakan Siam
Lancang, Putera tengahnya telah berjaya membuka sebuah negeri di sebelah selatan
yang dinamakan Perak manakala Puterinya yang ketiga telah membuka Negeri
Pattani. Putera bongsunya diangkat sebagai Raja Kerajaan Kedah setelah
kematiaan beliau. Kesemua anak-anak Raja Merong Mahadipusat yang mengetuai
negeri Siam, Pattani, Perak dan Kedah dikatakan mempunyai hubungan yang sangat
akrab antara satu sama lain. Pengarang cuba menunjukkan kehebatan kerajaan
negeri Kedah yang berjaya menakluki pelbagai jajahan takluk. Hal ini secara
tidak langsung, telah menunjukkan kedaulatan negeri Kedah itu sendiri.
Selain itu,
pengarang juga mengetengahkan pemikiran tentang asal usul raja dan kedaulatan
pemerintahan beraja. Pengarang mahu menunjukkan bahawa raja-raja Kedah berasal
daripada raja besar dunia iaitu Raja Merong Mahawangsa. Raja ini sangat perkasa
hingga burung Geroda tidak dapat mengalahkannya. Selepas Raja Merong Mahawangsa
meninggalkan zuriatnya di Negeri Kedah, baginda kembali ke Rom. Melalui
keturunannya lahirlah dinasti kesultanan Kedah. Raja-raja Kedah daripada
keturunan Raja Merong Mahawangsa ini memiliki keperibadian yang baik kecuali
Raja Phra Ong Maha Perita Deria atau Raja Bersiung. Raja Ong Maha Perita
merupakan raja yang kejam dan zalim. Kezaliman dan kejahatan Raja Bersiung ini
dapat dilihat dalam teks yang berikut:
“Demi Raja Bersiung mendengar sembah perempuan
itu, maka ia pun menyarungkan pedangnya serta bertitah, ‘ Baiklah, lalu
berangkat keluar ke balai rong bertitah , ‘ Mana penghulu biduanda sekalian?
Bukankah ada orang yang kita suruh bunuh sulakan itu pada hari ini? Ambil cawan
itu, isikan darahnya, bawa ke mari kepada aku.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, halaman 46 & 47)
Kezaliman Raja
Bersiung ini telah mendapat tentangan daripada permaisuri dan
menteri-menterinya. Menurut Siti Hawa Haji Salleh (2009), walaupun terdapat
penentangan antara raja dan rakyat, peristiwa tersebut tidak dianggap sebagai
menderhaka. Pengarang seolah-olah secara tidak langsung mengakui bahawa
penentangan terhadap Raja Bersiung adalah sah dari segi undang-undang.
Walaupun, Raja Bersiung seorang pemerintah yang zalim, namun pengarang tetap
cuba menunjukkan kedaulatan seseorang raja itu. Pengarang telah menghilangkan
Raja Bersiung dalam buluh bagi menunjukkan bahawa raja mempunyai tempat yang
tinggi berbanding dengan rakyat. Hal ini juga menunjukkan bahawa raja tidak
boleh diperlakukan sesuka hati oleh rakyat kerana ia akan menjatuhkan nama
institusi beraja yang selama ini dihormati oleh masyarakat terutamanya
masyarakat tradisional.
Seterusnya,
pengarang juga mengupas tentang bagaimana kedatangan Islam telah mengubah cara
hidup masyarakat negeri Kedah. Rakyat mula memeluk agama Islam setelah raja
mereka memeluk agama Islam. Peristiwa kedatangan Islam ini bermula apabila
wujudnya watak Syeikh Abdullah yang mengikuti Penghulu Syaitan Iblis untuk
melakukan kejahatan dan kesesatan terhadap masyarakat agar terus hidup dalam
kesesatan dan kegelapan. Penghulu Syaitan Iblis cuba untuk menyesatkan Raja
Phra Ong Mahawangsa dengan arak dan air kencingnya, namun Syeikh Abdullah
berjaya menghalang perkara tersebut. Hal itu secara tidak langsung telah
mempertemukan Syeikh Abdullah dengan Raja Phra Ong Mahawangsa. Raja Phra Ong
Mahawangsa berminat untuk mengetahui tentang Islam dari Syeikh Abdullah dan
akhirnya Raja Phra Ong Mahawangsa telah memeluk Islam. Raja Phra Ong Mahawangsa
telah menukar namanya iaitu Raja Muzalfar Syah dan sistem pentadbirannya
berlandaskan agama Islam.
3.2 Falsafah Dalam Hikayat
Merong Mahawangsa
Definisi dan Teori Falsafah
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010:406), falsafah didefinisikan sebagai pengetahuan tentang
pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar
ilmu-ilmu lain. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani philosophia,
iaitu philo ertinya cinta dan suka serta sophia pula bermaksud hikmat (Mohd.
Rashid Md. Idris, 2012:1). Cinta kepada ilmu dan kebenaran adalah falsafah.Hal
ini bermaksud falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan
bertujuan mendapatkan kebenaran. Tegasnya, ‘berfalsafah’ ialah mencari
kebenaran dari kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan
berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et
al., 2016:179). Falsafah menuntun seseorang mencari kebenaran dalam setiap
masalah. Ertinya falsafah secara mudah dapat diinterprestasikan sebagai
memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Dengan itu falsafah ialah
membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapat jawapan yang benar dan
realiti terhadap sesuatu perkara.
Menurut Mana Sikana (1996)
membahagikan bidang falsafah kepada enam jenis, iaitu ilmu teologi, ilmu etika,
ilmu estetika, ilmu mantik, ilmu metafizika dan ilmu kosmologi.Terdapat
beberapa bidang falsafah yang diberi penekanan iaitu etika, metafizika,
sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik.Etika ialah pemikiran
tentang moral, pendidikan dan pengajaran.Sejarah pula mengenai persoalan yang
berkaitan dengan makna masa silam seperti tamadun dan keruntuhan.Falsafah
metafizika memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan.Falsafah sosial adalah
gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual manakala ekonomi
pulamengenai sistem pendapatan serta pengurusan harta benda.Falsafah kosmologi
ialah yang membincangkan situasi persekitaran dan alam sarwajagat.Falsafah
logik ialah pemikiran yang rasional, taakulan dan sebab musabab. Politik pula
aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara.
Menurut Mana Sikana (1996:25),
berfalsafah ialah suatu kesenian sekaligus suatu tanda kemanusiaan. Berfalsafah
maksudnya berfikir. Jadi, falsafah hidup dapat diertikan sebagai kesatuan
nilai-nilai yang menurut manusia pemiliknya paling agung yang jika diwujudkan
ia yakin mendapat kebahagiaan. Falsafah hidup ini juga boleh diertikan dalam
kata lain sebagai prinsip hidup. Seseorang individu atau masyarakat memiliki
falsafah hidupnya yang tersendiri yang dianggap pemikiran tertinggi tentang
sesuatu yang dianggapnya benar dan berguna dan menjadi pegangan dalam
kehidupan. Terdapat beberapa falsafah yang terdapat dalam Hikayat Merong
Mahawangsa antaranya adalah:
Falsafah Etika
1.
Menghormati autoriti.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, falsafah etika dapat
dilihat melalui watak burung geroda. Watak burung geroda digambarkan sebagai
memiliki falsafah etika iaitu seorang yang sangat menghormati
autoriti.Contohnya burung geroda yang tetap menghormati Nabi Allah Sulaiman
sebagai autoriti dan yang berkuasa di dunia pada waktu itu. Walaupun burung
geroda tersebut merancangkan kejahatan dengan berniat mahu memisahkan putera
Raja Rum dengan puteri Raja China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada Nabi
Allah Sulaiman untuk memberitahu akan rancangannya itu.
Maka kata burung geroda kepada burung
rajawali: Dimana dapat ia sekalian hendak mengerjakan pekerjaan itu? Pada
fikiranku tiada boleh jadi, tetap natilah dahulu, aku hendak pergi menghadap
Nabi Allah Sulaiman karena ia itu raja besar di dalam dunia ini. Jikalau sudah
ada seperti yang demikian itu, tiadalah aku beri jadi pekerjaan nikah keduanya
anak raja dua buah negeri itu’.
(halaman
3)
2.
Memerintah dengan kasih
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, falsafah etika juga
dapat dilihat melalui watak Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan seorang
pemerintah yang memerintah dengan kasih dalam pemerintahannya. Misalnya
falsafah ini diceritakan oleh menteri Kelahum kepada Raja Phra Ong Mahapudisat
supaya baginda berpegang kepada falsafah tersebut dalam pemerintahannya.Dia
mengajar dan menasihati Raja Phra Ong Mahapudisat agar sentiasa memiliki kasih
kepada rakyat jelatanya. Dengan kasih, baginda pasti akan memerintah dengan
bijaksana dan menjadi pemerintah yang disayangi oleh rakyat.
Setelah itu lalu diperjamukan makan dan minum
pula kepada sekaliannya itu serta dengan memalu bunyi-bunyian dan mengajarkan
Raja Phra Ong Mahapudisat itu sharat orang menjadi raja: ‘Mahulah baik-baik,
menaruh sabar dan mengasihi di atas segala rakyat bala dan daripada hamba
sahaya sekalipun mahulah dengan adil dan murah hati dengan memberi derma kurnia
sedekah akan fakir miskin dan yang patut dibunuh sehari itupun hendaklah
ditaruh sampai tiga emapat hari supaya dihalusi baik-baik baru dibunuh dan yang
mana menjadi raja di dalam negeri Kedah bumi tanah itupun jangan duduk setempat
buat kota parit tempat yang diam itu dan mahulah ada seorang raja yang memegang
negeri mahulah suatu kota. Maka menjadi ramailah orang bumi tanah Kedah ini.
Adapun tanah bumi ini baharulah sangat menjadi daratan tempat kita duduk inipun
baik tempat bumi tanah yang baik dengan daratan boleh diperbuat seperti kota
parit akan tempat segala raja-raja hendak dibuat negeri duduk itu’.
(halaman
78)
Falsafah Ekonomi
1.
Kemunculan pusat perdagangan Melayu
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga membuktikan
kehadiran sistem ekonomi iaitu wujudnya pusat perdagangan Melayu di negeri
Kedah.Kejayaan negeri Kedah sebagai pusat perdagangan diasaskan oleh seorang
raja yang adil dan bijak dalam pemerintahannya. Buktinya apabila kerajaan Kedah
ini diperintah oleh raja yang tamak dan zalim iaitu Raja Ong Maha Perita Deria atau
lebih dikenali dengan nama Raja Bersiung keadaan negeri menjadi kucar-kacir,
lemah, dan segala pedagang pun melarikan diri meninggalkan negeri Kedah
menyebabkan negeri Kedah sepi dari aktiviti perdagangan. Sebaliknya apabila
negeri Kedah diperintah oleh seorang raja yang bijak dan adil iaitu Raja Phra
Ong Mahaputisat negeri Kedah menjadi maju semula dan menjadi tumpuan pedagang
dari luar.
‘Adapun Raja Phra Ong Mahaputisat…duduklah di
atas tahta peninggalan ayahandanya di negeri Kedah Jamin Turan terlalu adil dan
murah pada segala dagang, senteri, rakyat, bala sekalian. Maka sekalian mereka
itupun memuji-muji akan dia, banyaklah datang segala mereka berniaga dari
sebulan kepada sebulan makin bertambah-tambah ramainya serta banyak orang
datang ke negeri itu’.
‘Maka kota kedua buah itu pun makin ramai
orangnya tiada berputus segala dagang senteri pergi datang’.
‘Maka banyaklah orang berhimpun datang
berniaga ke negeri Kedah itu, tiadalah berputusan lagi pergi datangnya’.
‘Maka negeri itu daripada sebulan keada
sebulan, daripada setahun kepada setahun, maka bertambah ramainya serta dengan
banyak segala senteri daripada segenap negeri berniaga dan pindah ke negeri
itu.
(halaman
75)
2.
Peranan pemerintah dalam kemunculan golongan
pedagang dan peniaga Melayu
Sokongan yang paling utama dalam kemunculan golongan
pedagang Melayu ialah datangnya daripada para raja Melayu sendiri.Sokongan para
raja diungkapkan dengan penuh simbolik melalui kewujudan sebuah pemerintahan
yang adil terutama dalam memerintah negeri.Konsep keadilan itu merangkumi
kepada bukan sahaja peribadi raja yang memerintah tetapi juga struktur
pemerintahan yang tersusun dan cekap terutama dalam pengendalian pelabuhan dan
perniagaan.Keadaan ini dipaparkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa melalui kewujudan
pemerintahan raja memungkinkan negeri Kedah menjadi maju dan dan menjadi pusat
perdagangan.Contohnya, dalam Hikayat Merong Mahawangsa, apabila Raja Merong
Mahawangsa menjadi raja, negeri Kedah pun berkembang dan menjadi tumpuan segala
pedagang.
‘Maka termasyhurlah raja merong mahawangsa itu
sudah duduk menjadi raja pada tempat itu.Maka segala dating senteripun
berhimpunlah datang berniaga dalam negeri itu.
‘Maka negeri itu daripada sebulan keada
sebulan, daripada setahun kepada setahun, maka bertambah ramainya serta dengan
banyak segala senteri daripada segenap negeri berniaga dan pindah ke negeri
itu.
‘Adapun Raja Phra Ong Mahaputisat…duduklah di
atas tahta peninggalan ayahandanya di negeri Kedah Jamin Turan terlalu adil dan
murah pada segala dagang, senteri, rakyat, bala sekalian. Maka sekalian mereka
itupun memuji-muji akan dia, banyaklah datang segala mereka berniaga dari
sebulan kepada sebulan makin bertambah-tambah ramainya serta banyak orang
datang ke negeri itu’.
(halaman 75)
Falsafah Kosmologi
1.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, falsafah
kosmologi ini juga turut digambarkan dalam hikayat tersebut. Dalam hikayat ini
digambarkan hal-hal yang berhubung dengan alam iaitu mengenai makhluk ciptaan
Allah seperti Nabi Sulaiman a.s sebagai yang berkuasa di dunia pada waktu itu,
bukit, gunung dan pulau yang ada di dunia ini pada waktu itu.
Ketahui olehmu kepada zaman dahulukala dan
pada masa yang telah lalu, kata yang empunya cetera ini, maka adalah kepada
suatu masa sedang zaman Nabi Allah Sulaiman ‘alayhi’l-salam naik jadi raja yang
tetap di atas tahta kerajaan dikurnia Allah taala di dalam dunia ini
memerintahkan daripada segala makhluk khalayak yang berjenis-jenis bangsanya
yang dijadikan Allah subhanahu wa taala di dalam dunia ini, dititahkan oleh
Tuhan seru sekalian alam dunia ini di dalam hukum Nabi Allah Sulaiman
‘alayhi’l-salam, tiada boleh hendak melalui daripada hukumnya, baik daripada
binatang yang melata di bumi dan yang terbang di udara, sekaliannya dalam
hukuman Nabi Allah itu, beberapa banyak bukit, gunung pulau yang menjadi pasak
dunia ini yang didiami oleh makhluk.
(halaman 2)
Falsafah Sejarah
1.
Pembukaan negeri Kedah
Falsafah sejarah juga turut digambarkan dalam Hikayat
Meong Mahawangsa. Terdapat beberapa peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan
pembukaan negeri Kedah. Segala-galanya bermula daripada peristiwa perjanjian
yang dilakukan oleh burung Garoda dengan Nabi Allah Sulaiman yang menyatakan
bahawa dia akan memisahkan hubungan yang akan dijalinkan antara Raja Rum dan
Raja China dengan mengahwinkan anak-anak mereka. Burung Geroda telah melakukan
perjanjian untuk menghalang hubungan antara kedua-dua buah negara
tersebut.Burung Geroda telah menyerang bahtera yang dinaiki oleh anak Raja Rom
dan Merong Mahawangsa.Serangan telah dilakukan secara bertubi-tubi dan
menyebabkan anak Raja Rom berpisah dengan pembantunya iaitu Merong
Mahawangsa.Bahtera anak Raja Rom yang telah disambar oleh burung Geroda
menyebabkan bahtera tersebut musnah dan anak Raja Rom dihanyutkan laut.
Apabila Raja Merong Mahawangsa menjadi raja di
Langkasuka, maka baginda telah memerintah Langkasuka dengan baik.Namun yang
demikian, beberapa lama kemudian, utusan Raja Merong Mahawangsa kembali
daripada menghadap Raja China.Utusannya telah membawa utusan anak Raja Rom yang
dijumpai semasa menghadap Raja China.Kemudian, Raja Merong Mahawangsa telah
memberikan tahtanya kepada puteranya iaitu Merong Mahapudisat untuk memerintah
Langkasuka. Hal ini dibuktikan berdasarkan teks yang berikut:
“… Maka sembah segala menteri, ‘patut sangat
tuanku menamakan negeri ini, supaya tidak sesat daripada sebutannya.’Maka
sembah pula menteri Rum, ‘bukanlah dengan kemudahan juga mendapat negeri ini,
dengan tiada sukarnya, jikalau kepada namanya pun demikian jua.’Maka titah Raja
Merong Mahawangsa, ‘jika demikian, hendaklah kita namakan negeri ini Negeri
Kedah Zamin Turan sebutannya.” (halaman 30)
Oleh hal yang demikian, dengan nama yang diberikan
oleh Raja Merong Mahawangsa maka secara tidak langsung tertubuhlah sebuah
negeri yang bernama Kedah. Setelah itu, segala pemerintahan telah diamanahkan
kepada anakandanya iaitu Raja Merong Mahapudisat.
3.3 Nilai Budaya Dan
Pandangan Hidup Dalam Hikayat Merong Mahawangsa
Nilai budaya
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat nilai merupakan taksiran
harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah,
sifat ketinggian dan darjat, mutu, serta taraf. Hal ini bermakna, nilai adalah
ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada
sesorang individu.
Hikayat Merong Mahawangsa yang telah dikaji yang
telah diselenggara oleh Siti Hawa Haji Salleh (1991) ini banyak mempunyai
nilai-nilai yang tersembunyi. Malahan,
setiap penulisan sejarah tradisional Melayu, mereka kebanyakannya hendak
menggambarkan cara hidup dan pemikiran masyarakat yang dilahirkan dengan jelas.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, banyak memperkatakan
tentang nilai-nilai budaya Melayu yang tinggi yang ingin disampaikan kepada
pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut.
Terdapat beberapa nilai budaya yang telah dikenal pasti dalam hikayat
tersebut. Antara nilai yang terdapat dalam hikayat tersebut ialah:
1. Nilai budaya menghormati raja atau pemimpin.
Menghormati raja dan pemimpin
merupakan perilaku yang baik dan ianya sudah lama diamalkan sejak dahulu lagi
sehingga hari ini. Sebagai seorang rakyat, kita seharusnya menghormati pemimpin
agar hubungan rakyat dengan pemimpin akan bertambah baik. Hal ini kerana
sesiapa yang melanggar perintah raja akan dikenakan tulah iaitu mendapat
mudarat atau menerima nasib yang buruk. Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa
nilai menghormati raja telah ditunjukkan oleh pengarang apabila rakyat mengikut
arahan yang diberikan oleh Raja Merongwangsa. Contohnya:
“Demi didengar oleh sekaliannya titah Raja Merong
Mahawangsa yang demikian itu, maka sekalian itupun mengerahkan sekalian
orangnya suruh beringat-ingat serta memegang senjata masing2 tangan.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 6)
2. Nilai budaya berpegang teguh kepada adat resam
Masyarakat
Melayu sangat mementingkan adat resam dalam kehidupan mereka. adat tradisi ini
telah menjadi darah daging kerana tradisi ini telah menjadi amalan dalam
kehidupan seharian mereka. Orang Melayu juga berpegang kepada adat dan pantang
larang dan adat istiadat contohnya adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat
menyambut tetamu dan sebagainya. Berdasarkan hikayat yang dikaji nilai ini
ditunjukkan ketika raja China datang. Contohnya:
“...setelah sudah dibaca surat
itu lalu sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka raja China pun
menyorong puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah, katanya,
“Makanlah sirih hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar ia itu.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 23)
Berdasarkan petikan tersebut dapat dilihat
bahawa sirih dan pinang berperanan dalam upacara, adat resam dan budaya
masyarakat Melayu. Dalam petikan tersebut dapat dilihat bahawa adat makan sirih
turut digunakan ketika menyambut kedatangan tetamu.
3. Nilai budaya menghormati orang tua
Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi
perkerti dan bahasa. Nilai-nilai baik ini telah diwarisi oleh masyarakat Melayu
pada hari ini. Dengan adanya nilai-nilai ini ianya telah menjadi pengajaran
kepada masyarakat dalam meneruskan kehidupan seharian. Berdasarkan hikayat yang
dikaji, nilai menghormati orang tua telah ditunjukkan oleh watak anak raja Rom.
Walaupun beliau berada dalam kesakitan namun beliau masih menghormati dan
bersikap sopan dengan Mak Inang dan membahasakan ibu kepada Mak Inang.
“Maka sahut anak raja Rom itu dengan perlahan-lahan, “Hai ibuku, bahawa
dengan sesungguhnya beta ini manusia juga. Betalah anak raja Rom, hendak pergi
kahwin dengan puteri anak raja Benua China dengan beberapa buah bahtera…”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 14)
4. Nilai budaya mempunyai belas kasihan
Selain itu nilai belas kasihan juga terkandung
dalam hikayat merong mahawangsa. Nilai belas kasihan amat dititik beratkan
dalam kehidupan orang Melayu. Sebagai seorang manusia yang mempunyai adat dan
sopan, nilai ini seharusnya wujud dalam setiap diri individu dan mengutamakan
perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan. Antara contoh yang terdapat dalam
hikayat tersebut ialah:
“Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalulah belas kasihan hatinya
mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun kembali pada tuan puteri
persembahkan hal itu sekalianya dengan suka tertawanya.”
(Hikayat Merong Mahawangsa,
halaman 14)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat
bahawa Mak Inang dan Tuan Puteri mempunyai sifat belas ihsan dan kasihan untuk
menolong anak Raja Rom yang berada dalam kesusuhan. Walaupun pada mulanya
mereka tidak mengenali anak Raja Rom tersebut namun mereka tetap menolong anak
Raja Rom tersebut.
Pandangan hidup
Pandangan hidup menurut Mohd. Rashid Hj Md.Idris dan Seri Lanang Hj.
Rohani menyatakan pandangan hidup sebagai konsep mengenai pandangan hidup alam
semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan
yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai tertentu. Manakala pandangan hidup
berdasarkan perseptif islam pula menurut Syed Naquib al-Attas ialah pandangan
hidup tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia
mengenai kewujudan seluruh alam. Setiap masyarakat selalu memiliki pandangan
hidup tersebut, begitu juga dengan masyarakat Melayu.
Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat beberapa pandangan hidup
yang telah dikenal pasti yang terdapat dalam hikayat tersebut. Antaranya ialah:
- Hormat menghormati satu
kemestian.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini,
dapat dilihat pandangan hidup burung garuda yang tetap menghormati Nabi Allah
Sulaiman sebagai autoriti dan yang berkuasa di dunia pada waktu itu. Walaupun
burung garuda tersebut merancangkan kejahatan dengan berniat mahu memisahkan
Raja Rum dengan puteri benua China, dia tetap bertanya dan merujuk kepada Nabi
Allah Sulaiman untuk memberitahu akan rancangannya itu.
Maka kata
burung garuda kepada burung rajawali: ‘Dimana dapatia sekalian hendak
mengerjakan pekerjaanitu? Pada fikiranku tiada boleh jadi, tetapi nantilah
dahulu, aku hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman karena iaitu raja besar
di dalam dunia ini. Jikalau sudah ada seperti yang demikiann itu, tiadalah aku
beri jadi pekerjaan nikah keduanya anak raja dua buah negeri itu.
Halaman 3
1.
Janji
suatu pegangan.
Berpegang pada janji merupakan salah satu pandangan
hidup yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Hal ini dapat dilihat pada
burung garuda memasang niat yang tidak baik dan merancang perpisahan antara
raja Rum dan puteri raja benua China, namun burung garuda tersebut berpegang pada
janji. Burung garuda berjanji kepada Nabi Allah Sulaiman akan mengundurkan diri
dan tidak mengganggu kedua-dua anak raja tersebut andainya ia tidak berjaya
memisahkan kedua-duanya. Janji burung garuda ini ditepatinya dan ia pergi
membawa diri kelaut Kalzum yang jauh daripada manusia.
‘Maka sembah burung garuda, ‘YaNabi
Allah, akan pekerjaan itu atas hamba mullah mencheraikan dia. Jika tiada dapat
hamba mencheraikan anak raja kedua itu nischaya hamba undurlah daripada bawah
langit danatas bumi daerah tempat kediaman segala manusia sekalian ini.’
( halaman
3-4)
2. Pantang rakyat
derhaka.
Pandangan hidup ini telah sebati dan
diamalkan dalam diri rakyat yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Jika
dilihat, rakyat jelata menanamkan dalam diri mereka hati yang taat kepada
pemerintah dengan setia parahan dan perintah mesti ditunaikan. Hal Ini dapat
dilihat dalam pemerintahan Raja Bersiung. Rakyat jelata masih bertahan berada
dalam pemerintahan baginda biarpun baginda seorang yang kejam. Bukan sahaja
rakyat jelata yang taat kepada pemerintah, malah seorang yang mempunyai
kesaktian dan ditakuti raja-raja, iaitu Raja Merong Mahawangsa. Raja Merong
Mahawangsa menerima arahan daripada Raja Rum untuk membawa anaknya ke benua
China untuk dikahwinkan dengan puteri benua China.
Maka titah
Raja Rum kepada Raja MerongMahawangsa, ‘Hai saudarahamba, hendaklah saudara
pergi ke Benua China, ganti hamba membawa pergi paduka anakanda ini,
kahwinkan dengan anak Raja Benua China.’ Maka sembah Raja Merong Mahawangsa,
‘Baiklah, tuanku, barang yang dititahkan itu patik kerjakan, tuanku.’
( halaman 5)
3.4 Nilai Ilmu dalam Karya Merong Mahawangsa
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081) dalam Karya Agung Melayu,
perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu, dan taraf. Manakala, ilmu
pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan
lain-lain. Setiap karya yang dihasilkan pasti akan menyelitkan nilai-nilai ilmu
yang terdiri daripada ilmu firasat, ilmu pendukunan, ilmu jampi, dan ilmu
pengasih, ilmu teologi, ilmu etika, ilmu mantik, ilmu kosmologi, ilmu estetika
dan ilmu metafizika. Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat beberapa
nilai ilmu yang boleh dikaitkan dalam aspek ilmu antaranya ialah:
i.
Ilmu Teologi
Teologi diertikan sebagai ilmu mengenai
ketuhanan. Istilah tteologi ini berasal daripada perkataan “Theos” yang
bermaksud “Tuhan” dan “Logos” yang membawa maksud “ilmu”. Istilah ini berasal
dari Yunani. Teologi meliputi hubungan Tuhan dengan manusia, sama ada
berdasarkan kebenaran wahyu atau penyelidikan akal. Fungsi ilmu ini adalah
untuk memantapkan kepercayaan-kepercayaan dan keimanan bagi menghilangkan
pelbagai keraguan dari sudut Islam.
Terdapat
beberapa contoh nilai ilmu teologi di dalam hikayat Merong Mahawangsa yang
menunjukkan unsur kepercayaan kepada Tuhan. Antaranya:
Maka titah raja,
“Hendak-lah saudara-ku keempat turutkan saperti kehendak tuan Sheikh Abdullah
ini, barang kata-nya itu dengan hokum Allah dan sabda Nabi Muhammad Rasulullah
lagi yang di-dalam kitab Qur’an itu jua yang diturut oleh tuan ini”. (HMM: 147)
“Ya Nabi Allah, hamba-mu pohonkan
ampu banyak2 di-atas nyawa badan hamba-mu daripada kesalahan hamba-nya yang
telah lalu itu; ya Nabi Allah, mohon-lah hamba-mu pada tahun, bulan, hari ini
hendak pergi keluar daripada bawah langit dan bumi ini barang ka-mana hamba-mu
bawa diri hamba-mu di-beri idzin oleh Allah di-atas hamba-mu ini”. (HMM:
30).
ii.
Ilmu Etika
Istilah etika berasal daripada bahasa Yunani
Kuno iaitu “ethos”. Kata ini mempunyai banyak maksud seperti tempat tinggal,
padang rumput, kebiasaan, perasaan, sikap, dan cara berfikir. Maksud kebiasaan
inilah yang menunjukkan nilai etika. Nilai ini bersifat teori dan lebih
mempertimbangkan tentang sesuatu perkara sama ada baik atau buruk. Antara
contoh yang terdapat di dalam karya hikayat Merong Mahawangsa ialah:
Maka segala menteri hulubalang pun gemar-lah sangat melihat budi pekertinya
serta dengan pandai mengambil hati sekalian menteri hulubalang tambah pula
di-atas segala fakir, miskin, dagang senteri sekalian serta dengan tegor sapa
siapa yang bertemu dengan dia. (HMM: 46)
Ada pun Raja Ong Maha Perita Daria
pun sangat-lah besar hati-nya hendak di-buboh chermin segala batu kota-nya itu
tetapi perangi-nya makin besar panjang makin kahar kalu-nya, banyak sangat
menganiayai akan orang, sedikit jua adilnya”. (HMM: 63)
iii.
Ilmu Estetika
Umumnya, estetika merujuk kepada keindahan
yakni ilmu yang mempelajari tentang segala sesuatu mengenai keindahan.
Keindahan merupakan sesuatu yang relative dan abstrak dan ia merangkumi hal-hal
yang berkaitan dengan sedih, lucu, yang bergaya dan mulia, dan sebagainya.
Nilai estetika ini juga dapat dilihat dari aspek keindahan bahasa yang
digunakan. Antara contoh nilai estetika yang dapat dilihat di dalam karya
hikayat Merong Mahawangsa ialah:
Maka darah pun banayk-lah tumpah ka-bumi mengalir seperti ayer deras
laku-nya dan kepala pun seperti buah masak gugor ka-bumi dan berkaparan segala
senjata yang patah dan sumbing dan rosak binasa, itu pun jadi sula dan ranjau
menikamkan kaki tangan orang yang berkelahi. (HMM: 156)
iv.
Ilmu Kosmologi
Kosmologi merupakan ilmu yang mengkaji
mengenai alam semesta. Istilah kosmologi juga berasal dari Yunani kosmos yang
dipakai oleh Phythagoras untuk menerangkan mengenai aturan dan pergerakan
benda-benda langit.
Contoh ilmu kosmologi yang dapat dilihat di
dalam karya tradisional ini, antaranya:
Maka kelihatan-lah pada mata sekalian datang
tedoh redum dari sa-belah matahri hidup itu seperti hendak menimpa atas segala
kapal, kechi, bahtera. (HMM: 9)
Maka datang-lah pula burung geroda itu dengan hebat dan garang-nya
seperti tiada berlawananlah kelakuan rupa-nya; datang dengan angin ribut,
guroh, petir, kilat sabong menyabung. (HMM : 11)
Maka ada-lah kapada suatu hari ketika
burong garuda itu pergi menchari makan tiada ia di-pulau itu, maka turun-lah
tuan puteri anak Raja China itu serta dengan inang pengasoh-nya datang ka-tepi
laut itu menchari ketam, siput di-susur pantai itu. (HMM : 20)
3.5 Kepengarangan dan Estetika
Menurut Karya Agung Melayu (2016:91), kepengarangan
ialah mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan
jati diri seseorang pengarang itu. Kepengarangan juga dikatakan lebih melihat
kepada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Kepengarangan juga merujuk
kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang dalam beliau
menghasilkan sesebuah karya. Seorang pengarang akan menghasilkan sebuah karya
melalui pandangan dan pengalaman hidup yang diperoleh melalui bayangan,
ingatan, pembacaan dan pemerhatian sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Terdapat beberapa kepengarangan yang dapat dilihat
dalam Hikayat Merong Mahawangsa antaranya adalah :
a) Pengarang menggunakan unsur mitos
i)
Unsur mitos yang
pertama dapat kita lihat dalam kisah ‘Burung Geroda dan Nabi Allah Sulaiman’
yang memaparkan mukjizat Nabi Allah Sulaiman yang mampu untuk berkata-kata
dengan unggas dan haiwan. Pengarang juga cuba menyelitkan unsur Islam dan unsur
Hindu dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini iaitu memberikan nama unggas
kenderaan dengan panggilan Garda. Contohnya :
-
“Sabda Nabi Allah Sulaiman “hai burung geroda! Demi Tuhan yang
menjadikan aku, ada pun jodoh pertemuan itu di-dalam batu atau di-dalam kayu
sekali pun tiada siapa yang dapat mencheraikan dia” maka sembah burung geroda,
“ya Nabi Allah, akan pekerjaan itu atasmu-lah mencheraikan dia. Jika tiada
dapat hamba mencheraikan anak raja kedua...”
(Muka surat 5, bab 2)
ii)
Unsur mitos yang kedua
pula dapat dlihat dalam kisah ‘Raja Bersiung’. Pengarang telah menggunakan
kreativitinya dengan mengaitkan mitos terhadap kisah Raja Bersiung iaitu
melambangkan kezaliman raja ke atas rakyatnya. Pengarang juga menggarapkan
dalam karyanya dengan menggunakan mazhab dalam agama Budha Tantrik iaitu
Bhairaya yang mana mazhab ini mengorbankan manusia sebagai sebahagian daripada
upacara yang dilakukan. Pengarang menganggap perbuatan memakan manusia itu
sesuatu perkara yang ganjil dan gagah malah ia perlu dikagumi oleh semua lapis
masyarakat pada ketika itu. Hal ini telah membawa kepada kepercayaan bahawa
raja adalah berasal daripada keturunan raja yang megah dan berani. Contohnya :
-
“...Maka Raja Bersiung pun sagara turun dengan
pedang-nya yang sudah terhunus serta titah-nya ‘bunoh-lah orang itu’. Maka kata
Kampar itu, “Hai! Raja ini membunoh dengan tiada di-periksa”. Maka Raja
Bersiung pun marah, datanglah hampir dengan Kampar itu mengangkat pedang-nya
hendak menetak. Maka kata Kampar, ‘Hai Raja Bersiung, gila-kah hendak membunoh
orang tiada dengan periksa sungguhpun memakan hati darah orang, lepaskan-lah
ikatan aku ini serta aku tiada dengan senjata ini ada-kah boleh aku melawan?
Bunoh-lah sekarang nescahaya puas-lah raja memakan hati darah-ku”.
(Muka surat 70, bab 9)
b) Pengarang menggunakan fakta Islam
i)
Unsur penggunaan unsur
atau fakta Islam dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini adalah untuk mengisahkan
bagaimana Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Pengarang menyatakan
bahawa Islam muncul di Kedah setelah dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Baghdad.
Seperti yang kita sedia maklum, Raja Kedah beragama Hindu sehinggalah
kedatangan Sheikh Abdullah datang ke negeri Kedah dan mengajaknya memeluk agama
Islam malah mengajarnya mengenai agama Islam. Pengarang juga menyatakan bahawa
Al-Quran diturunkan di Mekah kepada pesuruhnya iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan
makamnya terletak di Madinah. Selepas itu, Raja Pra Ong Mahawangsa merupakan
raja Kedah yang pertama yang memeluk agama Islam dan baginda menukarkan namanya
kepada Sultan Mudzafar Shah selepas memeluk agama Islam. Contohnya :
-
Maka Sheikh Abdullah, “ada pun jangan-lah Tuanku
sakalian ketahuilah ini-lah zaman agama Nabi Muhammad Rasulullah yang akhir
zaman. Hendak-lah kita sakalian umat yang kemudian ini membawa shari’at agama
Islam menurut kitab Qur’an yang diturunkan Allah subhandah wa-Ta’ala kepada
pesuroh-nya Nabi Muhammad di-dalam negeri Mekah dan kubornya di negeri Medinah,
dan segala agama yang dahulu itu sesat jua tiada dengan sabenarnya, jangan
tuanku tiada ketahui dengan sebab agama yang tiada sa-benar itu-lah datang
iblis shaitan membuat haru-biru”. Maka kata Raja Pra Ong Mahawangsa, ‘jikalau
demikian hendaklah tuan hamba tolong hamba sakalian ini ajarkan agama Islam
yang sabenar itu”.
(Muka surat 144, bab
14)
Menurut Karya Agung Melayu (2014:97), estetika
membawa maksud nilai teks sastera dengan memfokuskan kepada aspek keindahan dan
kekuatannya. Perkataan estetika dalam Bahasa Yunani ialah ‘aesthesis’ yang
bermaksud perkara-perkara yang diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus
lagi ia bermaksud kepekaan manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Estetika
ini merupakan rasa keindahan, kegembiraan atau keseronokan yang merujuk kepada
bernilainya dan bermanfaatnya sesebuah karya yang dihasilkan. Estetika ini juga
merujuk kepada penikmatan yang memukau dan penglihatan yang menakjubkan malah
ia mampu menawan perasaan dan akan kekal dalam pemikiran pembaca. Aspek
estetika ini terbahagi kepada dua aspek iaitu seni bahasa atau gaya bahasa.
Antara unsur keindahan yang terdapat dalam
Hikayat Merong Mahawangsa ini adalah gaya bahasa, penggunaan bahasa istana,
penggunaan ayat klasik dan penggunaan bahasa asing.
i)
Penggunaan gaya bahasa
metafora
Menurut Nik Hassan
Basri (2005), metafora ialah satu perkataan yang bersifat konkrit dan satu
perkataan pula bersifat abstrak. Gaya bahasa metafora ini membandingkan sesuatu
secara tidak terus. Metafora merupakan pemakaian kata-kata untuk mengungkapkan
makna yang berlainan daripada makna asalnya. Metafora juga boleh disamakan dengan
kiasan. Contohnya :
-
“Sa-telah sudah siap maka tunggul panji-panji pun
berkibaran-lah serta disuroh-nya pula gendang
perang menaikkan berani hati yang takut.”
(Halaman 43)
-
“...sama ekor pun bersimbat-lah ber-karang
membicharakan bisa senjata-nya.”
(Halaman 75)
-
“Maka raja itu ka-negeri Kelinggi pun tiada ia tundok
dan ka-Benua Siam pun ia tiada di-ta’alok kerana hati-nya keras hingga ia dudok menghimpunkan ra’ayat-nya daripada
bangsa Semang dan Wila dan ra’ayat bukit dan sa-bagai-nya di-gelar-nya nama
penghulu yang besar-nya di-suroh-nya dudok berkeliling Tasek Ayer Tawar itu...”
(Halaman 94)
ii)
Penggunaan gaya bahasa
personifikasi
Personifikasi
bermaksud sifat manusia yang digunakan terhadap sesuatu perkara sama ada benda
yang hidup atau benda yang tidak hidup. Contohnya :
-
“Sa-barmula maka tersebut-lah perkataan pulau
Langkapuri itu, sa-lama peninggal perang Seri Rama dan Anduman jadi sunyi-lah pulau itu, tiada siapa
dudok.”
(Halaman 3)
-
“Maka burong Geroda itu pun ada masa zaman Seri Rama
dan Anduman biasa masok perang, banyak juga kesakitan dan banyak juga segala
binatang yang terbang dan berjalan di bumi
takut akan dia.”
(Halaman 4)
iii)
Penggunaan gaya bahasa
hiperbola
Penggunaan gaya bahasa
hiperbola merupakan unsur yang paling banyak digunakan dalam Hikayat Merong
Mahawangsa. Hiperbola adalah penyataan yang berlebih-lebihan yang digunakan
untuk memberikan penekanan pandangan idea atau peristiwa. Malahan hiperbola ini
berfungsi dalam memperhebatkan lagi penceritaan Hikayat Merong Mahawangsa yang
mempunyai unsur mitos. Contohnya :
-
Makadatang-lah pula
buronggerodaitudenganhebatdangarang-nyasapertitiada berlawan-lahkelakuanrupa-nya,
datangdengan angina ribut, guroh, petir, kilatsabongmenyabong”.
(Halaman 11)
-
“Sa-telah itu bahtera Raja Merong Mahawangsa pun
singgah ka-pada suatu pulau mengambil ayer kayu. Maka geroda pun datanglah
seperti rebut taufan yang teramat besar
menyambar dan memukul dengan sayap-nya dan menendang dengan kaki-nya ka-pada
bahtera anak Raja Rum itu hingga habislah karam tenggelam segala kapal dan
kechi itu.”
(Halaman 16)
-
“Maka tengah ramai sa-kalian bertikam itu maka Raja
Nuloh Betong pun sampai-lah menyerbukan diri-nya sa-kalian ka dalam kaum Dato’
Sangki itu bertikam bertetak pedang
bertangkisan bertikam keris terlalunya ramai tiada sangja bunyi lagi.”
(Halaman 154)
iv)
Penggunaan gaya bahasa
simile
Penggunaan gaya bahasa
simile juga turut digarapkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Simile ini
merupakan perumpamaan iaitu ia menggunakan kata-kata perbandingan seperti bak,
seperti, bagai, laksana dan umpama. Gaya bahasa simile ini digunakan untuk
memberikan persamaan sesuatu objek atau perkara dengan perkara yang lain dengan
penggunaan kata perbandingan. Contohnya :
-
“Maka sorak tempek pun terlalu-lah adzmat tambahan
dengan bunyi bedil meriam pun saperti
berteh.”
(Halaman 12)
-
“Sa-telah dapat sudah peti itu maka ia pun terbang-lah
kembali ka-atas udara saperti angin
yang maha tangkas me-nuju ka-Pulau Langkapuri itu”.
Halaman 24)
-
“Hatta maka ia menggerakkan tuboh-nya lalu menjadi
sa-ekor ular tedung selar besar-nya
saperti perdu nyior dengan lidah-nya panjang terjulor, matanya saperti keromong”.
(Halaman 71)
v)
Penggunaan bahasa
istana
Penggunaan bahasa
istana ini diperlukan dalam setiap penghasilan karya Bahasa Melayu Klasik. Hal
ini kerana kebanyakan karya-karya Bahasa Melayu Klasik mengisahkan
cerita-cerita yang melibatkan keluarga diraja. Contohnya :
-
“Maka raja itu pun bersemayam-lah”.
(Halaman 52)
-
“Patek ini
mohon-lah hendak kembali,”serta bertanya nama nageri itu. Maka titah Raja...”
(Halaman 65)
vi)
Penggunaan bahasa
klasik
Penggunaan bahasa
klasik ini dapat dilihat dengan penggunaan ayat Bahasa Melayu Klasik yang
meleret-leret. Contohnya :
-
“Tiada berapa lama sa-telah lengkap se-gala
kelengkapan dan bingkisan serta be-berapa pakaian yang akan dibalas-nya ka-pada
saudaranya negeri Kedah itu. Sa-telah diperbuat surat ka-pada saudara-nya
barangkali kita boleh putera maka hendak-lah saudara kita perbuat beri saperti
bunga emas bunga perak hantar-kan mari ka-pada kita karana pekerjaan itu
terlalu amat kesukaan bermain akan dia”.
(Halaman 58)
-
“Hatta maka adalah saorang budak perempuan chuchu
kapada Nang Miri Gergasi karana toknya Nang Miri Gergasi itu pergi ka Benua
Siam hantar-kan Raja Benua Siam itu karana Nang Miri Gergasi itu pun ia suatu
penghulu dan raja kapada sa-gala tentera gergasi”.
(Halaman 59)
4.0 Kesimpulan
Hikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah karya
warisan yang tidak ternilai harganya. Karya ini banyak mengupas tentang sejarah
keagungan negeri Kedah. Salah satunya
adalah tentang perkembangan susur galur mengenai keturunan raja-raja kedah
dengan jajahan taklukanya. Berdasarkan
penelitian terhadap beberapa aspek yang meliputi pemikiran, falsafah, nilai
budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu dan kepengarangan dan estetika dapatlah
disimpulkan bahawa karya ini adalah sebuah karya yang cukup hebat. Pengarang
karya ini dapat mengupas aspek-aspek tersebut dengan jayanya. Misalnya, melalui
aspek pemikiran, pengarang dapat menonjolkan persoalan-persoalan yang wujud
sewaktu penubuhan kerajaan negeri Kedah yang bermula dari Raja Merong Mahawangsa yang sangat berwibawa dalam
memerintah negeri Kedah. Beliau juga digambarkan sebagai pahlawan yang gagah
perkasa.
Berdasarkan karya ini pengarang mengetengahkan
falsafah hidup yang menjadi panduan masyarakat pada waktu itu. Selain itu,
pengarang juga mengetengahkan nilai budaya dan pegangan hidup yang diamalkan
oleh masyarakat pada masa itu. Nilai yang diamalkan pada masyarakat ketika itu
telah menunjukkan bahawa masyarakat Melayu telah mempunyai satu komposisi
kehidupan yang pelbagai. Selain itu juga, masyarakat pada zaman Merong
Mahawangsa juga turut mengamalkan ilmu yang pelbagai untuk meneruskan kehidupan.
Ilmu ini disebarkan kepada semua dan kebanyakkannya melibatkan dengan alam.
Seterusnya, penghasilan penulisan karya ini
juga dilihat menarik dengan penggunaan beberapa teknik yang telah diguna pakai
oleh penulis. Penulisan dngan gaya bahasa yang menarik dan teknik yang menarik
mampu melahirkan cerita yang dilihat secara realiti. Secara kesimpulannya,
Hikayat Merong Mahawangsa tidak boleh disangkal lagi sebagai sebuah karya agung
yang boleh penjadi rujukan kepada generasi
akan datang. Hikayat ini secara tidak langsung telah mengangkat martabat
ketamadunan Melayu ke peringkat lebih tertinggi. Oleh itu, kita sebagai
generasi muda perlu menghargai dan memelihara karya-karya seperti Hikayat
Merong Mahawangsa dengan sebaik-baiknya.
Rujukan
Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Idris, Seri Lanang Jaya Hj. Rohani
(2016). Karya Agung
Melayu. Tanjong Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dewan Bahasa dan Pustaka (2010). Kamus
Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Salleh (1991). Hikayat Merong
Mahawangsa. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Siti Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak
Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
S. Othman Kelantan.
(1997). Pemikiran satira dalam novel
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa
dan Pustaka.
0 comments:
Post a Comment